CYBERJAYA – Polis akan menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca kebakaran saluran paip gas sepanjang 500 meter di Putra Heights, termasuk dakwaan berlakunya kerja korek tanah di tanah rizab PETRONAS sebelum kejadian.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, memaklumkan bahawa siasatan rasmi akan bermula esok selepas operasi hari ini memberi keutamaan kepada usaha menyelamat dan pemadaman kebakaran.
Menurut beliau, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta PETRONAS turut akan menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan punca sebenar kejadian dapat dikenal pasti.
“Kita terima semua maklumat termasuk dakwaan berlaku korek tanah di situ sehingga menyebabkan kebakaran.
“Kita akan siasat semua itu dan jika benar ada korek tanah, kita nak tahu siapa yang korek,” katanya ketika ditemui di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Subang Jaya.
Pihak berkuasa memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara menyeluruh bagi memastikan punca kebakaran dapat dikenal pasti dan tindakan sewajarnya diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab.