Kisah Aset Tabung Haji RM19.9 Bilion dan SPV Bukan ‘April Fool’

KEGAGALAN Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dr Mujahid Yussof menjawab soalan Ahli Parlimen, Awang Hashim (Pas-Pendang), mengenai pihak pengurusan Syarikat Bertujuan Khusus (SPV) Kerajaan bagi menguruskan aset-aset Lembaga Tabung Haji yang dipindahkan sangat memalukan.

Sungguhpun hari ini 1 April, namun tulisan ini bukan ‘April Fool’. Memang benar menteri yang menjaga hal ehwal Tabung Haji (TH) gagal menamakan CEO syarikat kerajaan yang diberi tanggungjawab menguruskan aset TH bernilai RM19.9 bilion.

Ada apa dengan RM19.9 bilion aset TH ini? Kemelut ini berpunca kerana Mujahid melaksana “witch-hunt” ke atas pengurusan lama TH bagi memberi kelebihan politik kepada parti pemerintah yang baharu.

Kerajaan baharu mempertikaikan tindakan pemberian dividen kepada penyimpan walaupun liabiliti melebihi aset. Dalam Akta Lembaga Tabung Haji 1995, TH tidak dibenarkan membayar dividen jika liabiliti melebihi aset.

LTH dilaporkan menanggung liabliti bernilai RM74.4 bilion berbanding aset RM70.3 bilion, menjadikannya defisit RM4.1 bilion setakat 31 Disember 2017. Kelemahan pegurusan lama TH ialah sejak 2014 mereka tetap membayar dividen melebihi keuntungan komprehensif.

Namun sejak 2014 TH memang mencatatkan keuntungan besar. Cuma keuntungan tersebut menjadi berkurangan apabila diambil kira rosot nilai aset TH dalam bentuk pegangan saham.

Rakyat biasa mungkin keliru dengan segala terma perakaunan dan cara pengauditan dibuat. Maka rakyat dikelirukan sebagai ini satu penyelewengan dan korupsi dalam pengurusan lama TH.Realitinya ia tidak ada kena mengena dengan penyelewengan dan korupsi. Apa yang berlaku ialah sebahagian besar aset-aset TH dalam bentuk saham telah susut nilai berbanding masa pembelian.

Sebahagian besar pelaburan TH iaitu sekitar 53 peratus merupakan dalam pasaran saham dan sekuriti.

Ini adalah lumrah perniagaan saham. Namun kebanyakan saham yang dimiliki oleh TH masih memberi dividen dan bonus. Cuma harga di Bursa Malaysia telah jatuh menyebabkan nilai aset tersebut jatuh.

Misalnya apabila TH beli saham syarikat A dengan harga RM2 seunit, kemudian ia telah jatuh kepada RM1 seunit, maka perbezaan harga pembelian dengan harga semasa merupakan liabiliti kepada TH.

Maka keuntungan besar TH setiap tahun telah ditenggelamkan dengan susut nilai harga saham yang dimiliki oleh TH.

Justeru bagi meningkatkan kembali nilai aset berbanding liabiliti, kerajaan memutuskan TH perlu memindahkan sebahagian aset yang berprestasi lemah kepada SPV.

Apabila dipindahkan, aset-aset yang rosot nilai ini tidak lagi menjadi liabiliti kepada TH.

Dalam jawapan bertulis kepada Parlimen, Mujahid menyatakan aset-aset TH dipindahkan kepada SPV Kerajaan bernama Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB). Ia membabitkan aset tak berprestasi tinggi bernilai RM19.9 bilion merangkumi 29 hartanah, 106 aset sekuriti domestik dan satu syarikat tak tersenarai. Sebagai ganti SPV memberi penerbitan sukuk tujuh tahun bernilai RM10 bilion dan Saham Islamik Boleh Ditebus Boleh Ditukar (RCPS-i) berjumlah RM9.9 bilion kepada TH.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Zukri Samat dalam proses itu tidak ada transaksi wang tunai dan tidak ada jaminan kerajaan ke atas sukuk yang dikeluarkan oleh SPV, sukuk juga tidak boleh dijual beli.

“Tabung Haji akan menyimpan sukuk itu sehingga SPV memilih untuk menebus dengan wang tunai apabila ia (SPV) berjaya merekodkan keuntungan daripada aset yang tidak menguntungkan.

Jadi TH telah memindahkan asetnya bernilai RM19.9 bilion kepada sebuah syarikat milik kerajaan dengan tukaran beberapa keping kertas yang diberi nilai muka sama RM19.9 bilion.

Ini adalah “creative accounting” yang bertujuan memastikan aset TH tidak rosot nilai iaitu kekal sebanyak RM19.9 bilion dalam akaun. Yang menggusarkan kita ialah sungguhpun kertas-kertas sekuriti ini adalah daripada syarikat milik kerajaan tetapi ia tidak dijamin oleh kerajaan. Ini bermakna jika UJSB gagal meningkatkan nilai aset-aset ini seperti yang diharapkan, TH akan berhadapan kehilangan RM19.9 bilion tersebut pada masa hadapan.

Jika syarikat ini jahanam maka kertas-kertas bernilai RM19.9 bilion pun akan menjadi sampah sahaja. Hebatnya Kerajaan hari ini aset-aset TH bernilai RM19.9 bilion telah bertukar tangan dengan hanya beberapa keping kertas tanpa jaminan kerajaan atau mana-mana bank.

Sekali lagi ini bukan April Fool!

* Penulis Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasionalis (Akar)

One thought on “Kisah Aset Tabung Haji RM19.9 Bilion dan SPV Bukan ‘April Fool’

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.