Rakyat Kedah Dinasihat Jangan Lepas Negeri Ke Tangan Pembangkang

PENDANG – Rakyat Kedah dinasihat supaya jangan mengulangi kesilapan pada pilihan raya umum ke-12 (PRU12) yang lalu dengan memillih pembangkang sebagai kerajaan negeri kerana ternyata ia telah merugikan mereka.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semasa memberikan nasihat itu berkata, ia perlu dijadikan pengajaran berguna dengan terus memilih kerajaan Barisan Nasional (BN) sepertimana dilakukan pada PRU13 yang terbukti memiliki rekod terbaik membela nasib dan kebajikan rakyat.

“Saya sayang dengan orang Kedah. Kita tidak mahu Kedah terlepas sekali lagi di tangan orang lain (pembangkang) kerana kita (BN) telah melakukan yang terbaik,” katanya ketika berucap di hadapan lebih 10,000 rakyat pada Program Bersama Rakyat di Tapak Pekan Sabtu Pendang, di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, Anggota Parlimen Pendang Datuk Othman Abdul dan Ketua UMNO Bahagian Pendang Datuk Md Rozai Safian.

Ahmad Zahid berkata sehubungan itu beliau mahukan semua anggota UMNO dan juga rakyat perlu menyokong siapa juga pemimpin yang telah ditentukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada PRU14 ini.

“Siapapun ditentukan perdana menteri untuk jadi menteri besar Kedah (pada PRU ini) itulah orangnya yang akan kita sokong,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga timbalan pengerusi BN mahukan seluruh rakyat bersyukur dengan nikmat pembangunan yang telah dirasai selama ini dengan terus menyokong agenda yang diperjuangkan BN.

“Kita harus bersyukur dengan nikmat yang diberikan Allah melalui pemimpin. Jangan kufur nikmat yang telah diterima,” katanya, lapor Bernama

Ahmad Zahid juga meminta rakyat menolak parti yang menggunakan agama untuk mencapai matlamat politik mereka, sebaliknya menyokong BN yang menggunakan politik demi memperkuatkan syiar dan syariat Islam.

Berhubung Pendang, beliau yakin melalui perpaduan yang erat dalam kalangan pemimpin, BN mampu mempertahankan kawasan Parlimen itu pada PRU14.

Ahmad Zahid turut mengumumkan slogan pilihan raya BN yang baharu iaitu ‘BN Hebat, Negaraku Hebat, Rakyat Hebat´ serta mengumumkan peruntukan sebanyak RM7 juta bagi membina masjid daerah Pendang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!