Malaysia Jadi Gerbang Perniagaan

 

CHENNAI – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mempelawa lebih ramai pelabur India memanfaatkan kedudukan strategik Malaysia untuk mengukuhkan kehadiran mereka di rantau ASEAN dan melepasinya.

Beliau berkata, penyelesaian Rundingan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dalam tempoh terdekat akan menjadikan Malaysia lokasi ideal untuk mereka, sama ada mewujudkan pertubuhan serantau atau menggunakan negara ini sebagai gerbang untuk menembusi pasaran ASEAN, ekonomi ketujuh terbesar di dunia.

“Negara kami boleh menjadi pintu masuk anda untuk ke ASEAN dan melepasinya. Saya mengajak anda semua untuk memanfaatkan pelbagai peluang yang ditawarkan oleh Malaysia,” kata Najib pada rundingan meja bulat yang dianjurkan oleh Persatuan Dewan Perniagaan dan Industri India Malaysia (MAICCI) di Tamil Nadu di sini.

Najib berada di India selama enam hari sempena ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

Turut hadir Setiausaha Agung MAICCI, Datuk Dr. AT Kumararajah; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa.

Perdana Menteri berkata, hubungan ekonomi dan perdagangan antara Malaysia dan India semakin berkembang dan mening­kat lebih empat kali ganda sejak 2003 hingga 2015 dirangsang oleh kedudukan politik dan pertukaran perniagaan yang sihat dan mencatat tahap tertinggi.

India merupakan rakan dagang ke-10 terbesar Malaysia, menyumbang 3.3 peratus atau AS$11.7 bilion daripada jumlah dagangan negara.

Eksport utama ke India terma­suk minyak sawit dan produk ber­asaskan sawit, barangan elek­trik dan elektronik, petroleum mentah, program logam dan kimia.

Dalam pada itu, pada sesi bersama pelajar dan komuniti Malaysia di sini, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan melancarkan satu pelan tindakan baharu khusus untuk memastikan kemajuan masyarakat India bulan depan.

Beliau berkata, inisiatif baharu itu bertujuan mengimbangi pembangunan kaum India bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam agenda transformasi negara.

Katanya, satu mekanisme khusus akan diwujudkan bagi memastikan kejayaan pelan tindakan itu kelak. – Bernama

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.