DAP Rekrut 500 RBA ‘Serang’ Bakal Calon BN, Kata PMSP

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) mendakwa kira-kira 500 orang akan direkrut dalam gerakan Red Bean Army (RBA) bagi tujuan menyerang bakal calon-calon Barisan Nasional (BN) sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Presiden PMSP, Ramesh Rao berkata, RBA itu dilatih menyerang dalam pelbagai aspek calon-calon BN termasuk peribadi bagi menjatuhkan moral mereka seterusnya mengalahkan BN dalam PRU-14.

Ia didakwanya dilakukan dengan tajaan DAP.

“Serangan dipercayai akan dilakukan dari dua segi iaitu mental dan emosi, berhati-hati dan bersiap sedialah,” katanya dalam satu kenyataan lewat petang semalam.

Sebelum ini, pada PRU-13, kumpulan RBA membuat gerakan memburuk-burukkan kerajaan khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan tujuan supaya rakyat membenci BN dan mengundi pembangkang khususnya DAP.

Ramesh berkata, serangan akan dibuat melalui aplikasi media sosial seperti Whatsapp, Facebook dan Twitter.

Kewujudan RBA sudah diketahui sejak PRU ke-12 lagi yang mana ketika itu BN tewas di beberapa negeri tetapi bangkit semula untuk merampas kembali negeri Kedah, Perak dan Terengganu daripada pembangkang dengan dalang kewujudan mereka iaitu DAP.

Mereka mencipta pelbagai poster dengan fitnah dan tuduhan palsu serta menyebarkannya di seluruh negara untuk memastikan BN tewas dengan harapan pembangkang melalui Pakatan Harapan (PH) akan menguasai Putrajaya dengan membentuk kerajaan.

“Selagi mereka dengan taktik dan kerja jahat ini dan strategi ini, sampai bila-bila pun DAP dan Pakatan Harapan tidak akan menang PRU di negara ini dan membentuk kerajaan kerana rakyat sudah tahu akan agenda tersembunyi mereka,” katanya.- MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.