Bunuh Isteri, Letak Dalam Kubur Veteran Perang

DENVER- Seorang lelaki Colorado yang mengaku salah membunuh isterinya lebih 20 tahun lalu membawa pihak berkuasa ke lokasi mayat isterinya ditanam baru – baru ini iaitu kubur seorang veteran Perang Dunia Kedua.

John Sandoval, 52 mengaku salah untuk tuduhan membunuh dan dijatuhi hukuman penjara selama 25 tahun atas kematian Kristina Tournai – Sandoval pada 1995.

Sebagai sebahagian daripada rayuan, tertuduh pada 22 Mac lalu memberitahu penyiasat bahawa mayat isterinya ditanam di Tanah Perkuburan Greeley.

Mengikut siasatan, Sandoval menemui sebuah lot kubur pada awal pagi 20 Oktober 1995 yang disediakan untuk upacara pengebumian lewat tengah hari itu.

Pendakwa berkata, dia menggali lubang sedalam 0.61 meter pada lot yang sama dan menanam mayat Tournai – Sandoval selepas membungkusnya dengan beberapa lapisan plastik industri. Penggali kubur yang tidak tahu mengenai kewujudan mayat Tournai kemudian menjalankan upacara pengebumian seperti dijadualkan.

Pendakwa Daerah Weld, Michael Rourke berkata, penantian keluarga mendiang untuk menemui mayat anak mereka akhirnya berakhir.

“Pihak berkuasa akhirnya berjaya menunaikan kehendak keluarga si mati dengan penemuan mayat ini,” katanya. – AP/BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.