PRN Sarawak, 7,000 Ribu Polis Dikerah

JOHOR BAHRU – Kira-kira 7,000 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan ditugaskan sepanjang proses Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN-11) Sarawak.

 

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Muhammad Fuad Abu Zarim berkata, penempatan anggota polis itu kini ditumpukan kepada hari penamaan calon terlebih dahulu selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dibubarkan 11 April ini.

 

Beliau berkata, kekuatan 7,000 anggota itu termasuk 1,000 anggota dari Semenanjung Malaysia termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA) bagi meningkatkan tahap keselamatan serta membantu sistem perhubungan dan komunikasi.

 

“Oleh kerana keadaan negeri Sarawak yang mempunyai kawasan yang luas serta kawasan pedalaman, maka peranan PGA perlu khususnya daripada segi komunikasi kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memerlukan laporan proses pengundian hampir setiap sejam.

 

“Dari semasa ke semasa, kita akan berbincang mengenai penugasan anggota sepanjang berlangsungnya proses pilihan raya itu, termasuk penambahan anggota serta beberapa perkara lain seperti kemudahan logistik seperti penggunaan helikopter dan bot bagi memantau keadaan,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Dua Johor di Tampoi di sini, hari ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.