Polis Siasat Ali Tinju, Ramesh Rao Kerana Menghasut

PETALING JAYA – Polis akan menjalankan siasatan terhadap Pemimpin ahli Gerakan Merah dan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) kerana menyampaikan ucapan yang mengandungi unsur hasutan dan ugutan jenayah semasa menyerahkan memorandum di Pejabat DAP Pusat di Jalan Pudu, semalam.

 

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, perbuatan tersebut merupakan satu kesalahan jenayah di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

 

“Polis Kuala Lumpur mendapati terdapat tindakan atau perbuatan yang menyalahi undang-undang negara ini.

 

“Seramai 20 orang ahli Gerakan Merah dan JMM hadir termasuklah Mohd Ali Baharom (Ali Tinju), Datuk Ramesh Rao, Mejar (B) Razali dan Ayah Hamid Chai,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

 

Semalam, kumpulan terbabit menyerahkan memorandum mendesak Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng bercuti semasa siasatan mengenai pembelian banglonya dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak polis.

 

Kumpulan terbabit turut mengancam mahu membakar bangunan DAP di Jalan Pudu.

 

Sehubungan itu, Amar Singh memberi amaran kepada orang ramai agar sentiasa berhati-hati terhadap perbuatan atau ucapan yang boleh mengancam ketenteraman awam di negara ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.