Jutawan Arab Tayang Kereta Mewah, Tak Kisah Disaman Beribu Ringgit

LONDON — Pemilik kereta mewah dengan warna emas, dianggar semuanya bernilai lebih £1 juta (RM5.6 juta), disaman beratus-ratus pound kerana meletakkannya di bahu jalan.

 

Kereta-kereta Lamborghini Aventador, Rolls Royce, Mercedes G63 6×6 dan Bentley Flying Spur diletakkan di luar hotel Jumeirah Carlton Tower di tengah London, lapor portal The Independent.

 

Portal ini menganggarkan jumlah saman kereta-kereta itu £320 (RM1,780). Kenderaan itu boleh dialih oleh pihak berkuasa Kensington dan Chelsea jika denda itu gagal dibayar.

 

Setiap kali saman £80 (RM446.61) bagi sebuah kereta bagaimanapun boleh dikurangkan separuh harga jika dilangsaikan dalam tempoh 14 hari.

 

Portal The Telegraph pula melaporkan kereta itu dibawa masuk seorang hartawan kaya-raya Arab yang sedang melancong di barat London.

 

Jutawan itu Turki bin Abdullah memuatkan foto dan video koleksi kereta mewah ini, sebagai sebahagian gaya hidupnya yang kaya raya, di Instagram miliknya.

 

Antaranya, menurut akhbar itu lagi, foto yang menunjukkan seekor harimau bintang ditambat di tempat duduk pemandu jip Mercedes.

 

Hartawan muda itu, dilaporkan dalam usia 20-an, melawat Britain bersama beberapa rakannya, dengan membawa masuk kenderaan-kenderaan mewah tersebut.

 

Menurut The Telegraph lagi, setiap tahun kota London dilawati orang kaya Timur Tengah dengan koleksi kereta-kereta hebat mereka.

 

Mereka turut memandu dengan cara berbahaya di kawasan kediaman kaya di sini, menyebabkan penduduk marah kerana bunyi bisingnya.

 

Tahun lalu, setelah menerima rungutan ramai, pihak berkuasa Kensington dan Chelsea melarang kereta dibingitkan, memecut, berlumba, membunyikan hon atau mengganggu lalu lintas. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.