Ceramah Agama Tanpa Tauliah, Bekas Gitaris Rock Disiasat JAINJ

JOHOR BAHRU — Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) sudah membuka dua kertas siasatan termasuk terhadap seorang pendakwah selebriti yang juga bekas gitaris kumpulan rock tanah air kerana didakwa menyampaikan ceramah tanpa tauliah di negeri ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor Abd Mutalip Abd Rahim berkata, selain pendakwah selebriti itu, JAINJ turut membuka kertas siasatan terhadap penganjur ceramah berkenaan.

 

“Kita dalam proses melengkapkan kertas siasatan dan sebaik siap, ia akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya Syarie bagi proses seterusnya iaitu pendakwaan di Mahkamah Syariah,” katanya selepas Majlis Perasmian Multaqa Ulama Johor Darul Ta’zim kali keempat, di sini semalam.

 

Abd Mutalip berkata, sebelum ini seorang penceramah bebas telah didakwa dan dikenakan hukuman denda RM5,000 dan penjara setahun selepas didapati bersalah menyampaikan ceramah tanpa tauliah di negeri ini.

 

Katanya, JAINJ kini juga sedang giat memerhati individu yang memuat naik ceramah agama di laman sosial seperti YouTube yang berunsurkan ceramah yang boleh membawa kepada hasutan.

 

“Kita akan terus pantau. Sebelum ini seramai 16 individu dilarang berceramah di negeri ini dan itu sudah muktamad,” katanya.

 

Kerajaan Johor sebelum ini mengeluarkan pekeliling melarang 16 penceramah bebas yang didakwa tidak sealiran dengan Ahli Sunnah Wal-Jamaah untuk berceramah atau mengajar agama Islam di negeri ini, berkuat kuasa 31 Disember tahun lepas.

 

Larangan itu dibuat berlandaskan Undang-Undang Tubuh Negeri Johor dan enakmen sedia ada bagi menjaga kesucian agama Islam. — Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.