Amanah Gesa Rakyat Gulingkan Kerajaan Melalui Cara ‘Kurang Ajar’

KUALA LUMPUR – Naib Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (PAN), Shazni Munir Mohd. Ithnin menggesa rakyat bangkit untuk mengulingkan kerajaan melalui demontrasi dan rusuhan jalanan ala ‘arab spring’.

 

Menurut Shazni Munir zaman sopan santun serasanya telah lama berlalu (maka) untuk mengalahkan politik biadab dan tidak bertamadun perlu melalui proses yang ‘kurang ajar” sambil menyifatkan adalah mustahil kerajaan Barisan Nasional (BN) ditumbangkan melalui sistem demokrasi.

 

“Hampir mustahil untuk pilihan raya ‘membenarkan’ BN dikalahkan. Justeru, berhenti jadi Mat Jenin. Usah sebut laluan rasmi demokrasi jika instrumen demokrasi menjadi senjata mereka yang berkuasa.

 

“Lantas bagaimana? Takkan jalan raya sekali lagi? Jawapannya, ya dan tidak. Ya, jika rakyat nekad berhari-hari di jalan raya. Tidak, jika berhimpun setengah hari kemudiannya balik makan kuaci. Pemandu-pemandu teksi telah bermula semalam. Riak-riak yang membawa pada gelombang besar ini harus terus,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

 

Justeru, kata Shazni Munir, Pakatan Harapan dan seluruh penyokong pembangkang sedang ternanti-nanti demonstrasi besar yang akan digerakkan rakyat secara ‘genuine’ untuk menumbangkan BN di jalan raya.

 

Katanya, beliau percaya ramai rakyat Malaysia yang masih belum pernah keluar dan beraksi akan menyertai gelombang bagi melumpuhkan kerajaan sedia ada tersebut.

 

“Sementara menunggu gelombang besar-besaran rakyat, mungkin boleh regangkan badan dahulu dalam Himpunan #UndurNajib #MansuhGST pada 2 April ini.

 

“Anggaplah himpunan ini sebagai pemanas badan pada kerja-kerja ‘kurang ajar’ yang telah dan sedang disusun,” katanya. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.