Video: Sultan Perak Murka – MB Perak

Ipoh – Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah murka dengan tindakan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) pembangkang yang berpakaian serba hitam pada Istiadat Pembukaan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, semalam.

 

Beliau berkata ekoran tindakan biadab semua Adun pembangkang itu menyebabkan Sultan Perak menitahkan untuk tidak menghadiri sesi bergambar dan majlis santapan.

 

 

“Seorang raja bukan mudah menyebut beta murka tapi rakyatnya serta (saya) sebagai memanda menteri besar baginda, kita fahamlah apa ayat yang dizahirkan. Jadi tak perlulah saya sebut kalau pembangkang nak tanya tuanku murka atau tidak, saya nak sebutkan, ya, tuanku murka,” katanya kepada pemberita di Dewan Undangan Negeri hari ini.

 

Zambry berkata semalam merupakan hari bersejarah buat tuanku yang merupakan keberangkatan pertama baginda ke DUN selaku Sultan Perak ke-35 dengan mengenakan pakaian rasmi sultan dan akan dirakamkan dalam arkib negara.

 

 

“Bagi seorang raja, orang-orang penting, pemimpin dan sebagainya peristiwa itu dianggap bersejarah yang akan disimpan tapi bayangkan dengan tindakan mereka (pembangkang) yang juga akan menjadi sejarah. Walaupun apa yang mereka sebutkan taat setia, mohon ampun dan tidak berbelah bahagi kepada Raja, tetapi perbuatan semalam tetap terakam dalam sejarah,” katanya.

 

Selain itu, Zambry berkata tindakan pembangkang berpakaian serba hitam antaranya sebagai tanda protes dan solidariti terhadap Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah usaha untuk mengalih tumpuan terhadap isu sebenar yang menimbulkan kemarahan rakyat.

 

“Saya menganggap kenyataan ini sekali lagi menunjukkan sikap sebenar mereka dan saya ulang sekali lagi, mereka tidak menunjukkan perbuatan yang mereka lakukan itu dengan penuh kekesalan dan jelas menunjukkan mereka tetap angkuh dan biadab,” katanya.

 

Zambry juga melahirkan rasa kecewa di atas tindakan pembangkang yang cuba mempertahankan diri dengan mengeluarkan kenyataan sedemikian.

 

“Saya sebutkan semalam hari yang paling bersejarah buat Tuanku dan alasan yang diberi oleh mereka tidak menyalahi kod etika dan tunjuk protes mereka.

 

“Kalau mereka benar ikhlas dan ingin menunjukkan protes mereka kenapa hanya semalam tetapi tidak hari ini, saya mengganggap ia hanyalah semata-mata alasan yang paling cetek dan tidak munasabah yang mereka gunakan pada hari ini,” katanya.

 

Terdahulu Persidangan DUN semalam turut kecoh apabila pertikaman lidah pada sesi perbahasan hampir mencetuskan pergaduhan.

 

Ia bermula apabila Yong Choo Kiong (DAP-Tronoh) mempersoalkan tindakan pihak kerajaan mengkritik tindakan pembangkang berpakaian hitam ketika istiadat pembukaan sidang DUN Perak semalam.

 

Persoalan itu dilemparkan ketika mencelah sewaktu Datuk Khusairi Talib (BN-Slim) membahaskan usul menjunjung kasih terhadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.

 

Khusairi dalam ucapannya menyatakan tindakan berpakaian hitam ketika istiadat perasmian adalah perbuatan kurang ajar kerana jelas dalam surat jemputan meminta ahli dewan memakai pakaian rasmi nombor satu, tambahan pula ia adalah acara rasmi pertama di DUN Perak selepas Sultan Nazrin dimasyhurkan sebagai Sultan Perak.

 

Choo Kiong kemudian mencelah menyatakan tiada dalam Perintah Tetap mengenai cara berpakaian sambil menyindir hari ini ramai ahli dewan yang memakai jaket hitam dan bertanya berkabung untuk siapa yang mati.

 

Tindakan itu membangkitkan kemarahan Datuk Shahrul Zaman Yahya (BN-Rungkup) dan meminta Choo Kiong bertemunya di luar dewan dan ditenteramkan oleh Khusairi.

 

Datuk Ngeh Koo Ham (DAP-Sitiawan) kemudian menyatakan sesuatu ketika mikrofonnya ditutup sehingga membangkitkan kemarahan ramai penyokong kerajaan termasuk Shahrul Zaman yang bertindak keluar dewan sebaik melihat Koo Ham keluar dewan.

 

Ia mengakibatkan ramai anggota keselamatan turut mengekori kedua-duanya, menyangka akan berlaku pergaduhan, bagaimanapun ia tidak berlaku apabila dua ahli dewan itu pergi ke haluan masing-masing.

 

Sementara itu lebih 300 pemimpin dan ahli pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkumpul di hadapan Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini sebentar tadi bagi membantah tindakan ‘biadap’ Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang terhadap Sultan Perak.

 

Wakil pembangkang semalam bertindak biadap dan tidak menghormati sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dirasmikan pembukaannya oleh Sultan Nazrin Muizzuddin Shah apabila tidak memakai pakaian istiadat, sebaliknya memakai sut atau baju Melayu serba hitam.

 

Mereka berkumpul di laluan pintu utama masuk ke pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri sambil melaungkan Daulat Tuanku! Hancur Pembangkang.

 

Kumpulan berkenaan turut memegang kertas bertulis Pembangkang Jangan Biadap, Kami Membela Tuanku, Jangan Pijak Institusi Raja dan DAP, PKR PAS Jangan Biadap.

One thought on “Video: Sultan Perak Murka – MB Perak

  • April 3, 2015 at 6:59 pm
    Permalink

    Tak sebesar sejarah penderhakaan Umno sendiri, misalnya sejarah ‘NATANG’ di Ganu.

    Benar ke Sultan murka? Pasti Sultan pun tau lebih ramai rakyat yang murka.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.