Muhyiddin Lancar Pelan Pelaksanaan Amalan Teknologi Hijau Politeknik

JASIN – Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melancarkan Pelan Pembangunan POLYGreen Politeknik Malaysia iaitu sebuah pelan pelaksanaan dan hala tuju strategik bagi amalan teknologi hijau di politeknik seluruh negara.

 

Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata pelan itu akan menyatukan pembangunan hijau dalam pengajaran serta pembelajaran dalam lima aspek iaitu kampus hijau, kurikulum hijau, komuniti hijau, penyelidikan hijau dan pembudayaan hijau.

 

Katanya langkah itu penting dalam membentuk generasi tenaga kerja yang sensitif isu alam sekitar dengan pelaksanaan program berkesan berasaskan ilmu sains dan pengetahuan tempatan serta kerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan juga berpengalaman.

 

“Kita menaruh harapan agar semua lulusan politeknik akan menjadi ejen perubahan yang meneraju teknologi hijau dalam kerjaya mereka selanjutnya,” katanya ketika berucap melancarkan pelan itu di Politeknik Merlimau di sini hari ini.

 

Turut hadir Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron dan Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Politeknik Datuk Mohlis Jaafar, serta 1,000 kakitangan dan pelajar politeknik seluruh negara.

 

Muhyiddin berkata langkah itu juga seiring dengan misi menjadikan Malaysia sebuah negara maju berpendapatan tinggi dan dalam masa sama mencapai tahap rendah karbon menjelang tahun 2020.

 

Beliau juga berkata pelan itu mampu menjimatkan perbelanjaan kerajaan dalam jangka masa panjang selain menyambut saranan kerajaan mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida negara kepada 40 peratus.

 

Katanya politeknik juga diharap dapat memanfaatkan ilmu dan kemahiran bagi membangunkan suatu sistem yang lestari dalam jangka masa panjang seterusnya menangani fenomena perubahan iklim yang semakin meruncing.

 

“Langkah mitigasi dan adaptasi kepada perubahan iklim ini perlulah dilaksanakan secara menyeluruh dan bersepadu di semua peringkat dan sektor,” katanya.

 

Muhyiddin berkata pendapat penyelidik daripada universiti tempatan menyatakan kejadian banjir besar melanda negara tahun lepas disebabkan perubahan iklim dan pemanasan global.

 

“Perubahan iklim dan pemanasan global ini juga turut mengakibatkan kejadian lain seperti ribut taufan, tanah runtuh, kemarau, kebakaran hutan, kekurangan air tadahan dan lain-lain lagi yang semakin ketara pada masa kini,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.