Isteri Bersosial, Suami Rela Jaga Anak

Selain memiliki isteri yang cantik, kehadiran tiga cahaya mata lelaki yang kini sedang membesar melengkapkan hidup penyanyi lagu hits Hanya Memuji, Marcellius Kirana Hamonangan Siahaan atau Marcell, 37, sebagai suami dan bapa.

 

Tambah menyeronokkan apabila dia melayani kerenah dan ragam anak sulungnya, Keenan Avalokita Kirana yang berusia 11 tahun, Edga Ian Cook, 9, dan Seth Ananda Siahaan, 7 bulan.

 

Kata penyanyi berdarah kacukan Batak, Belanda, Ambon dan Jawa ini, kini tumpuan lebih diberikan pada anak ketiganya. Mereka suami isteri akan silih berganti menjaga bayi itu.

 

“Setelah 10 tahun tiada anak kecil, kami dikurniakan seorang lagi bayi lelaki, Seth yang lahir pada 21 September tahun lalu iaitu sehari sebelum ulang tahun perkahwinan saya dan isteri.

 

“Kembali ada anak kecil, beberapa kenangan dan rutin 10 tahun lalu diulang semula.

 

“Rima pernah alami masalah tulang belakang. Jadi, dia tidak boleh mendukung Seth terlalu lama dan saya yang akan menggantikannya,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, semalam.

 

Bercerita lanjut mengenai keluarganya, seperti ibu bapa yang lain, dia juga mempunyai impian dan mahu mencorak hidup anak-anaknya agar masa depan mereka terjamin.

 

Namun, melihatkan ketiga mereka mempunyai minat dan kecenderungan masing-masing, justeru dia terbuka dengan pilihan anak-anaknya.

 

“Jujur saya punya impian untuk anak-anak tetapi saya terbuka dan membiarkan mereka memilih yang terbaik.

 

“Saya hanya mahu anak saya menjadi generasi yang berguna dan boleh hidup berdikari walau di mana pun mereka berada.

 

“Anak sulung saya, Keenan, seorang yang tenang. Seperti saya, dia juga suka muzik dan baru-baru ini dia dapat keputusan paling cemerlang dalam ujian drum.

 

“Edga pula berbeza kerana dia suka bola sepak, wushu. Di satu sisi dia ada persamaan dengan saya yang juga sukakan seni pertahankan diri.

 

“Sewaktu dia mahu ikuti kelas wushu, saya lebih teruja dan berbangga dengannya.

 

“Seth belum tahu lagi tetapi perangai dan ‘mood’ dia mirip saya. Mungkin juga kerana bintang kami sama, Virgo.

 

“Dia aktif dan sangat sulit untuk dipuaskan. Jadi, saya harus jadi kreatif untuk hiburkan dia,” tuturnya sambil tertawa.

 

Menyedari tanggungjawab sebagai ketua keluarga menuntutnya tidak boleh terlalu bebas bersosial.

 

Akuinya, memang keutamaannya pada keluarga, tetapi sekali sekala dia masih sempat meluangkan masa bersama rakan di luar.

 

Malah, dia juga tidak menghalang Rima jika mahu keluar bersosial kerana dia akan mengambil alih tugas isterinya menjaga anak-anak mereka.

 

“Saya bukanlah orang yang suka bersosial. Saya bersosial kerana kerjaya yang memerlukan saya bersosial.

 

“Namun, saya cuma suka berkumpul dengan kawan-kawan dan berborak terutama apabila berkumpul dengan band saya, latihan hanya dua jam tapi kami balik sehingga jam 1 pagi kerana asyik bersembang.

 

“Kadang-kadang Rima banyak kali telefon saya mengingatkan saya pulang ke rumah kerana saya leka bersembang dengan kawan-kawan.

 

“Sebab itu, jika dia pula mahu keluar bersosial dengan teman-temannya, saya tidak menghalang. Saya benarkan dia keluar dan saya duduk di rumah jaga anak-anak.

 

“Soal antara kami mahu keluar bersosial bukan satu masalah kerana yang penting kami realistik. Kami tahu kami sudah berkeluarga dan punya anak,” katanya.

 

Dalam perkembangan lain, Marcell kini sedang sibuk menyiapkan album terbaharu.

 

Kali ini album keenamnya itu lebih istimewa kerana memuatkan lima lagu yang menyelitkan instrumen drum yang dimainkannya sendiri.

 

Selain itu. dia turut menyelitkan satu lagu cover nyanyian artis popular antarabangsa era 90-an.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.