Hormati Keputusan Lembaga Pengampunan – Muhyiddin

Kuala Lumpur – Semua pihak perlu menghormati keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

 

Beliau berkata, ia merupakan keputusan Yang di-Pertuan Agong berikutan rayuan dikemukakan oleh Anwar yang juga Anggota Parlimen Permatang Pauh.

 

“Sudah diumumkan tadi, harus kita hormati dan apapun itu adalah kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk membuat keputusan,” katanya dalam sidang media di Jasin hari ini.

 

Terdahulu, beliau melancarkan Pelan Pembangunan POLYGreen Politeknik Malaysia iaitu sebuah pelan pelaksanaan dan hala tuju strategik bagi amalan teknologi hijau di politeknik seluruh negara di Politeknik Merlimau di sini.

 

Hari ini, Peguam Kanan Persekutuan Amarjeet Singh berkata Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon Anwar melalui keluarganya.

 

Penasihat PKR itu kini menjalani hukuman penjara lima tahun atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

 

Amarjeet Singh berkata Yang di-Pertuan Agong telah menolak permohonan Anwar dalam mesyuarat lembaga itu pada 16 Mac lalu. Oleh yang demikian, Anwar hilang kelayakan sebagai anggota Parlimen berdasarkan Perkara 48(4)(c) Perlembagaan Persekutuan.

 

Sementara itu ketika mengulas mengenai bekalan barangan keperluan di negara ini beliau menjelaskan, ia masih mencukupi di sebalik pembelian panik rakyat sebelum pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) hari ini.

 

Beliau berkata kerajaan memberi arahan kepada kementerian bertanggungjawab seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan(KPDNKK); dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk memastikan bekalan barangan keperluan sentiasa mencukupi.

 

“Tidak timbul masalah (kurang barang keperluan) kerana kita dapat bekalan lebih daripada mencukupi, jadi (rakyat) tidak perlu panik, beli seperti biasa dan bekalan itu sentiasa disediakan.

 

“Saya lihat ada sesetengah itu mungkin ambil kesempatan sebelum tarikh (GST) mula dikuat kuasa sampai rak di pasar raya kering kontang dibuat begitu, saya tidak fikir perlu dibuat begitu,” katanya pada sidang akhbar di program tersebut.

 

Mengulas pelaksanaan GST hari ini, Muhyiddin berharap pelaksanaan sistem itu akan berjalan lancar, walaupun terdapat masalah pelaksanaan kecil yang tidak dapat dielakkan.

 

Beliau berkata dalam melaksanakan sesuatu sistem buat pertama kali, masalah kecil daripada segi pelaksanaan itu tidak dapat dielakkan ditambah dengan sistem GST negara ini yang mengecualikan dan mensifarkan kadar GST untuk barangan tertentu.

 

“Jadi bila ada pengecualian ini hendak laksanakan itu, ada setengah (barang) kena (ada yang) tidak kena. Bagaimana pihak juruwang tentukan kadar ditetapkan tadi tidak salah peraturan dan undang-undang, pengalaman (pelaksanaan GST) ini kita kumpul dan tambah baik,” katanya.

 

Muhyiddin berkata mereka yang tidak jelas atau menghadapi sebarang masalah mengenai GST dan menemui peniaga yang cuba mengaut keuntungan secara tidak bertanggungjawab menggunakan alasan GST supaya mengemukakan aduan segera kepada pihak berkaitan seperti KPDNKK.

 

“Hebahan media juga perlu membantu menjelaskan GST ini suatu sistem yang lebih teratur dan kemas yang dilaksanakan di banyak negara,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.