Cubaan Ibu Muda Bunuh Diri Bersama Bayi Digagalkan

ALOR SETAR – Seorang ibu dan bayi berusia 10 bulan terselamat daripada maut apabila polis komuniti bersama orang awam berjaya menyelamatkannya daripada cubaan untuk terjun dari tingkat lima sebuah pangsapuri di Taman Setia Jaya, dekat Alor Setar pagi tadi.

 

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, wanita berusia 30-an tersebut dikatakan mundar-mandir di kaki lima pangsapuri itu sambil mendukung anaknya.

 

Bagaimanapun secara tiba-tiba dia berdiri di bucu lantai seolah-olah ingin terjun.

 

Kejadian itu disedari seorang anggota polis komuniti dari pusat kawalan Simpang Kuala yang kebetulan pada ketika itu sedang dalam perjalanan ke tempat kerja dengan menunggang motosikal.

 

Anggota polis tersebut yang memandang ke aras atas pangsapuri itu terkejut apabila ternampak kelibat seseorang berada dalam keadaan murung dan sedih.

 

“Saya nampak dia duduk dekat tangki itu seperti mahu cuba untuk bunuh diri. Selepas itu saya bergegas ke tempat itu bersama beberapa orang awam.

 

“Sampai di tempat kejadian, kami membantu untuk pegang dia dan cuba membawanya turun,” ujar M. Vashinakumar.

 

Sebaik berjaya menarik tangan wanita terbabit dan mendakap anaknya, Vashinakumar mendapati wanita terbabit dalam keadaan takut dan seluruh tubuhnya bergetar dan raut wajahnya kemurungan.

 

Pada masa yang sama dua buah jentera bomba dan ambulans dari Unit Kecemasan dan Trauma Hospital Sultanah Bahiyah turut dikejarkan ketempat kejadian.

 

Wanita itu bersama bayinya kemudian dihantar ke hospital untuk pemeriksaan lanjut. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.