98 PATI Diusir Selepas Jalani Hukuman Di Kedah

SIK – Seramai 98 pendatang asing tanpa izin (PATI) terbabit dalam proses pengusiran ke negara asal masing-masing selepas selesai menjalani hukuman di tiga penjara berasingan di Kedah.

 

Selain Penjara Pokok Sena, semua PATI berusia antara 17 dan 50 tahun itu, turut menjalani hukuman antara sebulan hingga empat tahun di Penjara Alor Setar dan Sungai Petani.

 

Pengarah Imigresen negeri, Mohamad Yusri Hashim, berkata pengusiran 98 PATI terbabit dilaksanakan Depoh Tahanan Imigresen Belantek, di sini, jam 12.30 malam tadi dan mereka akan dihantar ke Depoh Imigresen ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk dihantar pulang ke negara asal masing-masing.

 

Beliau berkata, mereka membabitkan 76 warga Bangladesh, enam Myanmar, masing-masing lima warga Vietnam dan Kemboja, tiga Pakistan serta baki tiga lagi membabitkan masing-masing seorang warga India, Sri Lanka dan Filipina.

 

“Semua PATI berkenaan menjalani hukuman masing-masing kerana pelbagai kesalahan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan Imigresen 1963, selain Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15 dan Selsyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63(Pindaan 2002),” katanya. – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.