“Senyap-Senyap Tibai, Dobi Pakaian dan Beli Saham Pun Kena Cukai SST”

BANGI  – “Kalau nak bawa kanak-kanak ke taman tema, basuh baju di dobi, pergi kursus dan beli saham, buatlah hari ini sebelum dikenakan SST esok.”

Demikian sindir bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam berhubung pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang diperluaskan ke atas empat lagi perkhidmatan, berkuatkuasa 1 Mac.

“Mulai esok (hari ini), semua ini dan lain-lain lagi akan dikenakan cukai Senyap-Senyap Tibai Guan Eng. Cukai-cukai baru ini, Menteri Kewayangan tak berani umumkan sendiri pada akhir bulan Disember lalu. Dia suruh pegawai kastam umumkan.

“Apa yang kebanyakan Rakyat tidak sedar ialah kerajaan PH sedang memperluaskan cukai SST secara berperingkat kepada lebih banyak barangan dan servis sejak diperkenalkan dengan senyap-senyap,” katanya yang turut memuatnaik pautan berita berkaitan perkara itu di Facebook beliau semalam.

Isu Dakwaan Rasuah Projek Terowong Pulau Pinang

Najib menempelak sikap ‘membisu’ beberapa individu lain yang dikaitkan dalam kertas siasatan didakwa milik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes rasuah membabitkan projek terowong Pulau Pinang, yang didedahkan sebuah laman web popular.

Beliau berkata, sehingga kini hanya Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy sahaja yang berani memberi komen, walaupun dia tidak menafikan atau mengesahkan dakwaan bahawa menerima wang itu.

“Semalam, beliau memberitahu bahawa dia hanya akan memberi jawapan di mahkamah jika dia didakwa. Bagaimanapun, beliau tidak menafikan atau mengesahkan dakwaan bahawa beliau telah menerima wang, adalah benar atau sebaliknya.

“Beliau juga masih tidak menyoal jika kertas-kertas siasatan ini adalah sahih atau tidak. Sehingga kini, hanya beliau seorang yang berani memberi komen. Yang lain masih membisu,” katanya.

Menerusi posting berasingan, Najib berkata, kes skandal projek terowong itu telah disiasat dengan menyeluruh beberapa bulan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan.

Katanya, ramai individu yang terbabit dengan skandal berkenaan direman dan disoal siasat oleh SPRM, walaupun kes itu belum sempat didakwa sebelum PRU14.

“Selepas PRU14, kes-kes ini seperti sudah ditenggelamkan oleh kerajaan PH. Pada pendapat saya, projek ini memang banyak keraguan.

“Projek telah dianugerahkan selama 6 tahun dan wang ratusan juta ringgit telah dibayar untuk kos laporan tetapi sehingga kini semua laporan masih belum siap dan tiada kerja pembinaan telah dimulakan,” katanya.

DAP Aktifkan Jentera Propaganda Media Sosial

Najib berkata, jentera, operatif media sosial dan propaganda DAP telah diaktifkan semula ekoran kebimbangan Pakatan Harapan (PH) terhadap kehilangan populariti mereka, setelah ramai rakyat mulai sedar dengan kegagalan parti berkenaan mentadbir negara.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, tidak mustahil lebih banyak ‘cybertrooper’ DAP dan PH akan muncul secara tiba-tiba kerana wang sudah masuk.

“Entah berapa juta ringgit duit rakyat sedang ditambah dan digunakan oleh PH untuk menyerang saya, BN dan PAS. Mereka akan meningkatkan usaha untuk menanam kebencian terhadap kita kerana mereka semakin panik kehilangan sokongan.

“Mereka sudah sangat terdesak dan tertekan. Tidak mustahil agensi-agensi kerajaan dan media-media di bawah kawalan mereka juga akan disalahgunakan lagi,” katanya. – IsmaWeb

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.