Kerjasama UMNO dan PAS Jalan Terbaik Menyatukan Melayu Islam – Tok Mat

HULU LANGAT – Kerjasama di antara UMNO dan Pas merupakan satu-satunya langkah yang boleh diambil bagi menyatukan orang Melayu dan umat Islam di negara ini.

Sehubungan itu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan memberitahu, kedua-dua parti Melayu terbesar negara tersebut akan duduk semeja dan bersama-sama mencari langkah untuk penyatuan tersebut.

“Selaku yang diberi tanggungjawab untuk memimpin UMNO, saya telah membuka pintu untuk bekerjasama dengan Pas. Tiada jalan lain dan saya tidak nampak ada formula lain untuk menyatukan orang Melayu dan umat Islam di tanah air ini melainkan UMNO dan Pas mesti bekerjasama.

“Insya-Allah minggu hadapan kita akan bersama, Datuk Tuan Ibrahim mengetuai Pas dan saya mengepalai UMNO dan kita akan duduk bersama untuk menyusun atur gerak kerja dan kita tidak akan memandang ke belakang lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap dalam program Ceramah Perdana di Bandar Seri Putra, Bangi dekat sini malam semalam.

Yang hadir sama, Timbalan Presiden Pas, Datu Tuan Ibrahim Tuan Man dan calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Zakaria Hanafi.

Sementara itu, tambah Mohamad, rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini sekian lama dapat hidup bersama dalam keadaan aman dan harmoni namun orang Melayu dan Islam ketika ini jelas berada dalam keadaan tidak selesa dan terancam.

“Apa yang berlaku ini bukanlah kerana kita hilang kuasa tetapi disebabkan oleh dasar yang diambil oleh kerajaan Pakatan Harapan memang tidak boleh menjamin masa depan orang Melayu dan agama Islam di negara ini,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, pengundi-pengundi di Semenyih perlu memberikan undi kepada calon BN sebagai satu referundum rasa tidak puas hati rakyat terhadap kegagalan kerajaan PH.

“Tolong saya, jangan fikir tentang BN dan parti apa, pedulikan lambang tetapi adalah asas orang Melayu dan Islam mesti bersatu,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.