Dr Mahathir Kecewa Ada Pemimpin PH Masih Bersikap Pembangkang

PUTRAJAYA – Tun Dr. Mahathir Mohamad kecewa terdapat pemimpin Pakatan Harapan yang masih meneruskan sikap sebagai pembangkang meskipun parti itu telah sembilan bulan membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri.

Menurut Perdana Menteri, antara sikap itu ialah menganggap golongan peniaga dan pengusaha sebagai kapitalis yang hanya menindas pekerja dan rakyat.

Beliau sehubungan itu mahu pemimpin Pakatan Harapan mengubah mindset dengan menjadikan peniaga dan pengusaha yang mereka anggap sebagai kapitalis sebelum ini, sebagai rakan dan membantu mereka supaya lebih berjaya.

Kejayaan peniaga dan pengusaha itu katanya, akan membolehkan kerajaan mengutip cukai lebih besar untuk membangunkan negara.

“Kita sebagai kerajaan tidak boleh bersikap seperti parti lama, tak boleh kecam peniaga, pengusaha sebab cukai dibayar mereka. Tanpa cukai kerajaan tidak cukup wang untuk mentadbir negara,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sesi pemukiman kerajaan Negeri Johor bersama Perdana Menteri dan Menteri Persekutuan di sebuah hotel di sini.

Yang turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian serta semua Ahli Dewangan Undangan Negeri (ADUN) PH di negeri itu.

Menurut Dr. Mahathir, ramai anggota kerajaan PK tidak berpengalaman dan kebanyakannya daripada parti-parti yang pernah menjadi pembangkang selama 61 tahun.

“Oleh sebab itu, mereka mempunyai sikap untuk membangkang, tapi sekarang bukan perlu membangkang tetapi kena berusaha,” katanya.

Beliau turut mengakui tidak mudah untuk PH menunaikan janjinya seperti tol percuma selepas menjadi kerajaan sehingga menjejaskan sokongan rakyat.

“Semasa jadi pembangkang janji nak hapus tol, lepas jadi kerajaan nak hapus tol tidak semudah jadi pembangkang sebab jalan-jalan mesti dibaiki sepanjang masa, diperelok, dilebarkan. Ini semua perlukan wang,” katanya.

Bagaimanapun kata Perdana Menteri, kerajaan akan terus berusaha untuk membantu rakyat menangani kenaikan kos hidup. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.