3 Wanita Islam Terima Pampasan Selepas Dipaksa Tanggalkan Tudung

BANDAR raya New York bersetuju membayar pampasan AS$180,000 (RM706,000) kepada tiga wanita Islam yang dipaksa polis menanggalkan tudung ketika gambar wajah mereka diambil.

Setiap wanita menerima AS$60,000 (RM235,000) selepas penyelesaian dimuktamadkan di mahkamah persekutuan Brooklyn awal minggu ini, kata peguam mereka, Tahanie Aboushi, dipetik AFP.

New York Times melaporkan, tiga kes itu berlaku pada 2012, 2015 dan 2016 dengan semua wanita terbabit diarah membuka tudung, malah permintaan gambar mereka diambil jurugambar wanita di tempat tertutup juga ditolak.

Malah, dalam kes kedua, wanita terbabit mendakwa polis yang mengambil gambarnya berkata ‘wow’€™ tiga kali apabila melihat rambutnya dengan banduan lelaki lain turut ketawa dan membuat kenyataan tidak menyenangkan.

Mereka mendakwa hak kebebasan beragama dilanggar, menyaman bandar raya itu dan Jabatan Polis New York, pasukan polis terbesar di Amerika Syarikat.

Polis New York sejak itu mengubah garis panduan untuk membenarkan tahanan bertudung memilih gambar diambil secara tertutup oleh anggota yang sama jantina.

“Ia langkah tepat dan usaha bersama menangani jurang dalam garis panduan peronda,” kata Tahanie.

Sementara jurucakap jabatan undang-undang bandar raya New York, Kimberly Joyce, berkata penyelesaian perkara itu untuk kepentingan bersama semua pihak terbabit.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.