Zulin Aziz Kini Jadi Penyanyi

KUALA LUMPUR – Pelakon, pelawak dan penyampai radio Zulin Aziz kini bakal menjadi penyanyi dan muncul dengan single sulung berjudul Terbiar.

 

Menurut Zulin, lagu ciptaan dan lirik oleh Aiyad Sakti itu berentak bossa balada dan bakal dilancarkan pada 8 Mac ini, lapor Utusan.

 

Namun menurut Zulin, lirik Terbiar itu tidak ada kena mengena dengan kehidupan peribadinya.

 

“Saya hanya menyanyi saja dan lagu itu telah dirakam pada tahun lalu. Kami ambil masa yang lama untuk dipasarkan sebab jadual kerja saya yang tidak menentu.
“Kesempatan merakam lagu ini adalah ibarat rezeki kerana selama ini saya tidak pernah terfikir untuk menjadi penyanyi, selain menyanyi dalam bilik air atau karaoke sahaja.

 

 

“Bukan saya yang mencari Aiyad tapi dia yang tanya saya sama ada nak jadi penyanyi. Apabila orang sudah bertanya, takkan nak kecewakan harapan mereka pula,” katanya.

 

 

Zulin atau nama sebenarnya Farah Azleenda Abd. Aziz, 27, berkata, tidak pernah bersikap tamak apabila mengambil setiap peluang yang datang kerana bagi dirinya itu adalah rezeki yang tidak patut dipersia-siakan.

 

 

“Menghasilkan single Terbiar ini pun di luar jangkaan kerana tak pernah terfikir untuk merakam lagu. Sebelum saya melakukan sesuatu seperti merakam lagu atau berlakon, saya akan tanya pandangan orang sekeliling. Kalau mereka kata saya boleh menyanyi dan berlakon atau jadi penyampai radio, barulah saya teruskan niat itu.

 

 

“Saya suka bertanya sebab tak mahu melakukan sesuatu kerana syok sendiri. Apabila orang kata sesuai barulah saya buat. Setakat ini semua yang saya lakukan memberi manfaat pada diri. Bagi saya tak salah kalau kita mencuba sesuatu yang baharu,” jelasnya.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.