Vincent Tan Tidak Akan Jual Cardiff City

 

KUALA LUMPUR – Hartawan negara, Tan Sri Vincent Tan tidak merancang untuk menjual Cardiff City Football Club (CCFC) yang kini beraksi dalam Liga Kejohanan Inggeris.

 

Menurut beliau ia termasuk juga Los Angeles FC (LAFC) di Amerika Syarikat, FC Sarajevo (Bosnia) dan Kortrijk Voetbalt CVBA (KVK) yang beraksi di dalam liga Belgium, lapor Utusan.

 

“Saya tiada perancangan untuk menjual kelab-kelab ini namun bersedia membuat pertimbangan jika diberikan harga sesuai,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Kenyataan itu dibuat selepas Bloomberg mengeluarkan laporan bertajuk “Embattled Millionaire Plans to Sell Football Teams” yang membabitkan dirinya.

 

Beliau mengakui, terdapat pihak mengemukakan tawaran untuk Cardiff City tetapi nilai yang dikemukakan tidak sesuai.

 

“Saya tidak akan tergesa-gesa menjual CCFC, tetapi jika ditawarkan harga berpatutan daripada orang yang saya percaya boleh membawa kelab itu ke tahap lebih tinggi, sudah pastinya saya akan memberikan pertimbangan.

 

“Saya telah katakan sebelum ini sekiranya saya melepaskan CCFC, saya mahu meninggalkannya dalam keadaan baik.

 

“Bagaimanapun, bagi FC Sarajevo dan KVK, pelaburannya tidak besar berbanding CCFC serta LAFC dan tidak ada alasan untuk menjualnya melainkan ada tawaran menarik,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.