Raja Salman Terima Anugerah Ijazah Doktor Kehormat UIAM

KUALA LUMPUR – Raja Arab Saudi Raja Salman Abdulaziz Al-Saud malam tadi dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam Sains Politik (Islam dan Wassatiyyah) dan Anugerah Pencapaian Cemerlang Seumur Hidup sebagai menghargai sumbangan baginda kepada kebajikan umat Islam di seluruh dunia.

 

Penjaga Dua Kota Suci itu menerima anugerah daripada Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah, selaku Ketua Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada Konvokesyen Khas di Pusat Budaya UIAM dekat sini.

 

Dalam ucapan diraja, Sultan Ahmad Shah bertitah, UIAM bangga dapat mengurniakan kepada Raja Salman ijazah dan anugerah itu kerana ketinggian budi dan kemurahan hati ditunjukkan baginda kepada dunia Islam.

 

“Kami sungguh berharap Baginda menerima anugerah itu yang disertai semangat kecintaan dan rasa terhutang budi dunia Islam,” titah Sultan Ahmad Shah.

 

Baginda menyatakan bahawa Raja Salman adalah seorang Raja yang amat memahami peranan signifikan umat Islam di dunia semalam.

 

Sultan Ahmad Shah bertitah, dunia Islam kini berdepan dengan banyak cabaran yang memerlukan kesabaran, keihsanan dan keazaman dan ini adalah kekuatan yang dimiliki Raja Salman.

 

“Baginda Raja Salman bukan seorang insan biasa, tugas dan kewajipan baginda kepada negara baginda dan pengikut sunnah wal jamaah memerlukan tekad dan kesabaran besar pada diri baginda.

 

“Baginda melambangkan kualiti yang agama kita menggesa kita semua sebagai penganut, perlu capai,” tegas baginda.

 

Melahirkan kata-kata pujian sebelum itu, Presiden UIAM, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, kebajikan dan kesejahteraan rakyatnya dan umat Islam sentiasa dekat di hati baginda.

 

“Baginda mengetuai beberapa jawatankuasa dan organisasi bagi mengumpul sumbangan untuk membantu golongan miskin dan mereka yang terjejas akibat banjir, gempa bumi dan bencana alam lain di dunia Arab dan Islam dan membantu kerja amal Islam di serata dunia,” kata beliau.

 

Rais berkata, keluhuran budi, sokongan dan keprihatinan Raja Saudi itu terhadap banyak organisasi dan jawatankuasa mendapat perhatian rakyat di negara baginda dan penduduk seberang laut.

 

Beliau menarik perhatian sejak perisytiharan baginda sebagai Raja Arab Saudi, negara itu telah menyaksikan gaya urus tadbir yang dinamik dan progresif, bila berdepan dengan cabaran-cabaran global yang baharu.

 

Dalam pada itu, Raja Salman menggesa universiti di dunia Islam memastikan kesediaan dan kelayakan generasi muda untuk membantu ummah mendapatkan semula kehebatannya.

 

Raja Arab Saudi itu bertitah, pengetahuan yang diperoleh boleh dikongsi untuk manfaat masyarakat dunia yang lebih luas.

 

Belia, titah baginda, merupakan harapan dan juga masa depan masyarakat Islam.

 

“Universiti di dunia Islam mempunyai tanggungjawab yang berat dalam menyediakan mereka menghadapi tugas mencabar pada masa depan,” titah baginda.

 

Raja Salman bertitah, Islam mempunyai apa yang diperlukan untuk membolehkan ummah bangkit semula sebagai sebuah tamadun.

 

“Pendidikan merupakan satu cara untuk kita mencapai kemajuan dan pembangunan peradaban dalam bidang pengetahuan dan sains,” titah baginda.

 

Istiadat penganugerahan itu merupakan acara rasmi terakhir baginda dalam lawatan negara empat hari ke Malaysia atas undangan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.

 

Lawatan itu berakhir esok. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.