UMNO Dan PAS Tidak Mungkin Bersatu – Nazri

Kuala Lumpur – Anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Nazri Aziz membantah sebarang rancangan bergabung kuasa dengan PAS.

 

Pendirian itu lantaran UMNO dan BN untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum atau agama dan bukan “untuk kepentingan Islam” semata-mata.

 

“Saya seorang manusia yang menghormati kemanusiaan…Apasal kita nak bermusuh? kita semua rakyat Malaysia.”

 

“Bila kata PAS dengan Umno kena bersatu untuk kepentingan Islam. Bila kamu cakap macam tu, siapa musuh kamu? Musuh kamu bukan Islam lah kan?” katanya, dengan jari mencucuk langit menegaskan perkara itu.

 

“Kalau orang jumpa saya cakap kita kena bantai Cina saya tak suka,” kata Nazri memberi contoh. “Kebetulan dia Cina, dia minta ke jadi Cina? Tuhan jadikan dia Cina.

 

“Orang bukan Islam pun sokong kita juga. Orang bukan Islam tak sokong kita, kita marah. orang Islam tak sokong kita, kita ajak bergabung. Mana boleh macam ni. Tak logiklah!” kata Nazri dalam satu wawancara bersama FMT Ahad lalu.

 

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini berlegar spekulasi perikatan atau penggabungan antara PAS dan UMNO. Spekulasi bertiup kencang selepas parti Islamik itu berpisah dengan bekas rakan sekutu, DAP.

 

Semalam, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan dirinya tidak mahu terlibat dengan himpunan anti-Najib yang dirancang diadakan pada 27 Mac depan, yang dijangka menemukan pemberontak UMNO dan pembangkang.

 

Hadi dilaporkan berkata meskipun beliau melawan parti UMNO, beliau mahu berhubungan baik dengan ahli-ahli UMNO.

 

Mengulas lanjut, Nazri berkata masalah dijangka berbangkit lantaran kedua parti itu bertembung dalam pilihan raya, terutamanya di kawasan-kawasan luar bandar, lantas menyebabkan pembahagian kerusi hampir mustahil.

 

“Saya tak setuju dengan PAS dan UMNO parti politik. Pilihan raya nanti, kita bertanding di atas kerusi yang sama. Parlimen dan negeri. Macam mana nak bahagi?

 

“Macam kawasan saya, PAS mesti nak Lubuk Merbau. Kalau saya bagi Lubuk Merbau marahlah orang saya yang selama ni berentap lawan PAS di situ.”

 

Nazri turut berharap PAS tidak akan bertolak-ansur dengan parti pembangkang lain, justeru menambahbaik kebarangkalian untuk UMNO dalam pilihan raya akan datang.

 

“Kita haraplah Amanah dan PAS ni tak kompromi. Pecah undi kita menang,” katanya secara nakal.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.