Terengganu Keluarkan Kod Etika Berpakaian Kepada Pelancong

Kuala Lumpur – Satu kod etika berpakaian akan dikeluarkan kerajaan negeri Terengganu kepada semua ejen pelancongan di negara ini.

 

Garis panduan etika berpakaian itu melibatkan pelancong terutamanya wanita yang berkunjung ke negeri itu.

 

Sebuah portal melaporkan surat garis panduan etika berpakaian itu akan dihantar ke semua ibu pejabat pelancongan di negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Singapura.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Mohd Jidin Shafee berkata pihaknya yakin jumlah pelancong ke negeri itu tidak akan merosot walaupun pelaksanaan enakmen jenayah syariah (Takzir) 2001, akan dikuatkuasakan.

 

“Surat garis panduan dan makluman akan dikeluarkan sebelum tindakan undang-undang dikenakan terhadap wanita yang berpakaian menjolok mata di tempat awam.

 

“Perbincangan bersama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) bagi mengeluarkan garis panduan etika berpakaian menurut syariat Islam untuk diedarkan kepada semua ejen pelancongan termasuk agensi di bawah Kementerian Kesenian dan Pelancongan di luar negara,” katanya.

 

Bagaimanapun, laporan tersebut tidak menyatakan sama ada garis panduan itu akan dilaksanakan di pulau popular negeri itu seperti Pulau Perhentian dan Pulau Redang yang menjadi tumpuan pelancong luar negara.

 

Ketika dihubungi The Rakyat Post, Mohd Jidin berkata etika berpakaian itu adalah untuk orang Islam.

 

Menurutnya, bagi bukan orang Islam, mereka akan dinasihatkan untuk berpakaian sopan di khalayak ramai.

 

Perkara ini timbul apabila kerajaan negeri mengumumkan akan mengenakan hukuman terdapat lelaki yang tidak mengerjakan solat Jumaat supaya mereka diletakkan di dalam van jenazah.

 

Sebelum ini, kerajaan negeri turut mengeluarkan arahan kepada pusat membeli belah supaya ditutup selama dua jam ketika solat Jumaat bagi mencegah belia meninggalkan solat itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.