T-Team Mahu Terus Bangkit

Kuala Terengganu – T-Team menyifatkan kemenangan mengejut ke atas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada pusingan kedua Piala FA semalam sebagai pemangkin kebangkitan pasukan berstatus kelab itu.

 

Pengendalinya, Tomislav Steinbruckner berharap kemenangan 3-0 terhadap ATM itu dapat menyuntik semangat dan meningkatkan keyakinan pemain untuk mengharungi saingan dalam Liga Perdana musim ini.

 

Dalam perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini, kedua-dua pasukan terpaksa beraksi 120 minit selepas terikat tanpa jaringan hingga tamat 90 minit permainan.

 

Penyerang import Uzbekistan, Farhod Tadjiev, yang kurang menyerlah dalam beberapa perlawanan sebelum ini, mula menunjukkan kelibat dengan dua jaringan pada minit ke-100 dan 108.

 

Pemain gantian, Muhammad Safawi Rasid menambah derita pasukan pelawat kendalian B. Sathianathan dengan rembatan lencong pada minit ke-106.

 

Steinbruckner berkata walaupun terpaksa menunggu sehingga 120 minit untuk melakar kemenangan ini namun beliau tetap berbangga dengan persembahan dan komitmen yang telah ditunjukkan barisan anak buahnya.

 

“Pada separuh masa pertama permainan saya melihat para pemain banyak kehilangan bola kepada pihak lawan tetapi mula menunjukkan peningkatan pada babak kedua,” katanya..

 

Beliau berharap perlawanan akan datang para pemain akan bermain dengan lebih bersemangat dan penuh keyakinan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.