Mat Sabu Lawan Hadi Awang

SELEPAS pelbagai pertelingkahan politik antara kumpulan proulama dan kumpulan bukan ulama dalam PAS berlaku sejak tahun lalu, “pertarungan” secara rasmi bermula hari ini apabila pencalonan bagi 27 jawatan peringkat pusat dibuka. Pencalonan itu selaras dengan pelaksanaan mesyuarat agung tahunan oleh 188 kawasan (bahagian) PAS di seluruh negara.

 

Pemilihan kali ini dianggap paling menarik dalam sejarah PAS kerana ia tidak berlegar-legar soal gabungan antara ulama dan bukan ulama sebaliknya bakal menyaksikan pertembungan antara kedua-dua kumpulan tersebut.

 

Golongan ulama sedang berusaha habis-habisan untuk memastikan mereka terus menguasai kepimpinan PAS ketika golongan bukan ulama pula semakin ghairah mahu menjadi dominan dalam parti tersebut.

 

Sebenarnya kehangatan pemilihan peringkat pusat pada Jun ini sudah dirasai sejak muktamar tahunan parti itu di Batu Pahat tahun lalu. Ketika itu pertembungan antara golongan proulama dan bukan ulama sudah terserlah.

 

Golongan proulama mahu tahaluf siyasi PAS dengan sekutunya, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP dikaji semula kerana ia dikatakan tidak memberi keuntungan politik kepada PAS manakala golongan bukan ulama pula mahu hubungan politik itu dikekalkan.

 

Walaupun golongan ulama sudah menegaskan, kajian itu bukanlah berkisar soal PAS meninggalkan pakatan pembangkang namun bagi sesetengah pemimpin golongan bukan ulama, mereka bagaikan diburu mimpi ngeri kononnya ada kecenderungan PAS yang dipimpin oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Presiden mahu mewujudkan kerajaan perpaduan dengan UMNO.

 

Mengulas perkara ini, Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak menganggap, pemilihan kali ini ibarat pertarungan “hidup mati” antara dua golongan dalam PAS memandangkan ia bukan berkisar soal menentukan barisan kepimpinan semata-mata sebaliknya jauh daripada itu bakal menentukan hala tuju dan dasar perjuangan PAS.

 

“Sebab itulah golongan ulama tidak boleh bergantung kepada doa sahaja, mereka perlu menyusun strategi dan perancangan bagi mempertahankan PAS. Ini memandangkan jika mereka gagal berbuat demikian kemungkinan PAS akan dikuasai oleh satu kumpulan yang bersedia berkompromi apa sahaja demi mengikut kehendak politik PKR dan DAP,” katanya.

 

Berdasarkan hujah itu juga, Prof. Mohamed Mustafa secara terbuka tidak menolak andaian bahawa pemilihan PAS tersebut akan turut menyaksikan campur tangan secara langsung daripada kedua-dua parti itu yang mahu memastikan kepimpinan PAS berubah.

 

“Bukan lagi rahsia, PKR dan DAP sememangnya tidak senang dengan corak kepimpinan ulama yang dibawa oleh Abdul Hadi. Apatah lagi pendirian golongan ulama dalam beberapa isu termasuklah “Langkah Kajang” dilihat tidak selari dengan kemahuan kedua-dua parti itu.

 

“Justeru mereka sudah tentu mahu memastikan pemilihan PAS pada Jun nanti dikuasai oleh barisan kepimpinan yang “sehati sejiwa” dengan mereka dan bersedia mengikut hala tuju yang ditentukan oleh mereka,’’ katanya.

 

Menjawab satu soalan, Prof. Mohamed Mustafa berkata, tidak timbul soal PAS meninggalkan pakatan pembangkang jika golongan ulama menang, sebaliknya apa yang diinginkan oleh golongan itu ialah hak PAS dihormati dalam satu-satu tindakan.

 

“Pada pandangan golongan ulama, kalau DAP berhak melakukan apa sahaja demi memenuhi agenda politiknya bagi mendapat sokongan kaum Cina kenapakah PAS tidak boleh diberi hak yang sama bagi menarik kembali sokongan orang Melayu kepada parti itu yang semakin merosot,’’ katanya.

 

Turut menjadi tumpuan sejauh manakah Abdul Hadi akan dapat mempertahankan kedudukannya. Persoalan ini dilontarkan kerana gerakan untuk meletakkan beliau sekadar Mursyidul Am bagi menggantikan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semakin ketara.

 

Abdul Hadi dilihat lemah dan tidak tegas dalam memimpin PAS serta didakwa menjadi punca kepada hubungan dingin parti itu dengan PKR dan DAP. Timbul juga persoalan siapakah yang akan mencabar beliau? Dan bagaimana pula dengan kedudukan Timbalan Presiden, adakah Mohamad Sabu atau Mat Sabu akan dicabar atau berusaha untuk mencabar kedudukan Presiden?

 

Mengulas perkara ini satu sumber dalaman PAS menegaskan, ketika ini kedudukan Abdul Hadi masih belum tergugat walaupun pelbagai usaha dilakukan bagi melemahkan kepimpinan beliau.

 

“Abdul Hadi tetap akan terus mendapat sokongan menjadi Presiden. Adalah mustahil beliau harus diletakkan menjadi mursyidul am kerana kedudukan itu akan diisi oleh Datuk Haron Din yang kini Pemangku Mursyidul Am PAS,” katanya.

 

Menjawab satu soalan, sumber itu berkata, di peringkat kawasan atau lebih tepat lagi akar umbi, mereka tetap mahu PAS diterajui oleh kepimpinan ulama sesuai dengan perjuangan PAS yang berteraskan Islam.

 

“Pelbagai cerita yang kononnya memaparkan kedudukan Abdul Hadi semakin tergugat hanya diuar-uarkan oleh kumpulan tertentu yang cuba menonjolkan kononnya mereka semakin kuat dalam PAS, tetapi hakikatnya ia hanyalah mainan politik semata-mata,’’ katanya.

 

Sumber itu juga menegaskan, tumpuan sepatutnya diberikan kepada kerusi Timbalan Presiden yang sudah pasti akan menyaksikan pertembungan antara golongan bukan ulama dengan proulama.

 

“Mat Sabu sudah pasti akan mempertahankan kedudukan itu tetapi difahamkan ada permintaan beliau bertanding Presiden bagi membolehkan calon daripada bukan ulama menggantikan tempat beliau,’’ katanya.

 

Walaupun ada cakap-cakap politik kononnya Mat Sabu akan mencabar Abdul Hadi namun ia boleh dianggap khabar angin semata-mata kerana Timbalan Presiden PAS itu sudah pasti akan memikirkan segala risiko jika beliau berbuat demikian.

 

Apa pun ia belum dapat mengalih perhatian terhadap persoalan golongan manakah yang akan mendominasikan pemilihan kali ini. Apakah golongan ulama yang berpegang teguh kepada perjuangan PAS termasuk mahu melaksanakan hukum hudud atau golongan bukan ulama yang segelintir daripada mereka bersedia berkompromi apa sahaja demi menjaga hubungan politik dengan PKR dan DAP.

 

Hanya ahli-ahli PAS yang berhak menentukannya. – Mingguan Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.