Kuwait Pantau Saudara “Jihadi John”

Kuwait City – Pihak berkuasa Kuwait sedang memerhatikan beberapa saudara “Jihadi John” yang menetap di negara itu, tempat kelahiran pertanda Negara Islam (IS) itu.

 

Akhbar Al-Qabas pada Ahad melaporkan, sejumlah saudara Mohammed Emwazi, militan yang memengal sekurang-kurangnya lima tebusan dari negara barat, bekerja di Kuwait dan memiliki kewarganegaraan Britain.

 

“Agensi-agensi keselamatan telah mengambil langkah sewajarnya untuk memantau mereka setiap masa,” demikian lapor akhbar itu yang memetik sumber.

 

Namun, tidak dinyatakan berapa ramai saudara Emwazi yang tinggal di Kuwait.

 

Pihak berkuasa juga mendiamkan diri berhubung isu berkenaan.

 

Akhbar Al-Rai pula memetik sumber keselamatan sebagai berkata, ayah Emwazi, Jassem Abdulkareem adalah seorang rakyat Britain yang kini beada di Kuwait dan dijangka dipanggil pihak berkuasa.

 

Emwazi pernah mengunjungi Kuwait beberapa kali, dengan kali terakhir adalah antara 18 Januari dan 26 April 2010.

 

Dia tiba dari Emiriyah Arab Bersatu dengan menggunakan pasport Britain, untuk mendapatkan visa Kuwait.

 

Kunjungan Emwazi ke Kuwait sebahagian besarnya adalah lawatan sosial dan dia dianggap penduduk Kuwait tidak bernegara.

 

Keluarga Emwazi yang berasal dari Iraq, merupakan golongan tidak bernegara yang pernah memohon untuk mendapatkan kewarganegaraan Kuwait.

 

Namun, mereka dikeluarkan daripada senarai warga negara prospektif, kerana didakwa bekerjasama dengan tentera Iraq, ketika penjajahan selama tujuh bulan di Kuwait, pada 1990 hingga 1991.

 

Setahun kemudian, Emwazi dilarang memasuki Kuwait, selepas namanya muncul dalam siasatan beberapa serangan di Britain.

 

Emwazi dilahirkan di Kuwait, tetapi berhijrah ke London pada awal 1990-an, ketika dia masih kecil dan belajar di sekolah serta universiti di London.

 

The Daily Telegraph melaporkan, Emwazi bersekolah bersama dua lelaki lain yang turut menjadi militan, iaitu Choukri Ellekhlifi yang maut ketika berjuang di Syria dan Mohammed Sakr yang maut berjuang di Somalia.

 

Emwazi turut dilaporkan berhubung dengan beberapa lelaki yang bertanggungjawab terhadap serangan-serangan ke atas sistem pengangkutan awam London yang gagal dilaksanakan pada 2005, dua minggu selepas serangan berani mati yang meragut 52 nyawa di London.

 

Pendedahan itu menambahkan tekanan terhadap agensi perisikan dan keselamatan, untuk menjelaskan kenapa mereka tidak bertindak terhadap Emwazi sebelum dia pergi ke Syria.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.