JPAM Tangkap Ular Sawa Sepanjang Sembilan Meter

Segamat – Empat anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Segamat berjaya menangkap seekor ular sawa sepanjang hampir sembilan meter dengan berat kira-kira 90 kilogram di Kampung Sepinang dekat sini, pada Sabtu.

 

Pegawai JPAM Segamat, Nazlan Ruslan berkata anggotanya menerima panggilan daripada seorang penduduk kampung kira-kira jam 3 petang meminta bantuan untuk menangkap reptilia tersebut yang memasuki reban kambing penduduk.

 

“Empat anggota kemudian bergegas ke lokasi tersebut dan berjaya menangkap haiwan tersebut yang dalam keadaan lapar dengan bantuan beberapa penduduk kampung kira 30 minit kemudian.

 

“Ular yang ditangkap kali ini merupakan tangkapan terbesar pada tahun ini dan dipercayai reptelia tersebut yang lapar keluar mencari makanan dan air berikutan cuaca panas sebelum memasuki reban kambing penduduk,” katanya.

 

Beliau memberitahu cuaca panas dan kering ketika ini menyaksikan kes tangkapan ular di daerah ini meningkat mendadak dengan 26 ekor sepanjang Januari dan 28 ekor pada bulan Febuari tahun ini.

 

Menurutnya, pada musim panas dan kering lazimnya ular akan keluar dari lubang atau tempat persembunyian berkeliaran bagi mencari makanan.

 

Nazlan berkata ketika tangkapan dibuat ular tersebut tidak melawan kerana dipercayai dalam keadaan lemah akibat kelaparan sekaligus memudahkan proses menangkap haiwan tersebut oleh anggota dan penduduk kampung.

 

“Ketika ditangkap dipercayai haiwan tersebut belum sempat membaham sebarang mangsa kerana semua kambing tiada di dalam reban pada masa itu.

 

“Sehubungan itu saya menasihatkan orang ramai agar berhati-hati terutama ketika berada di kawasan semak dan jangan bertindak melulu serta cuba menangkap reptilia tersebut kerana boleh mendatangkan bahaya,” katanya yang akan menyerahkam haiwan tersebut kepada Perhilitan untuk tindakan lanjut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.