Himpunan Jalanan Seperti Badut Dan Sarkis

Oleh: Bujang Paloi

 

Selamat datang dan berhimpun depan Sogo KL. Peduli apa kalau polis kata ia perhimpunan haram, tidak ada permit, tanpa kebenaran, tiada kelulusan. Sementelahan memang banyak perkara haram, terlarang, tanpa kebenaran yang berlaku dan dibuat.

 

Bagi penganjur, yang penting berhimpun dan kemudian buat bising sikit-sikit atau berdegar-degar untuk menarik simpati orang yang berada di sekitar tempat berhimpun. Memang ini pun tujuan pihak yang membuat perhimpunan seperti ini.

 

Malah, mereka lebih suka bertelagah dengan pihak berkuasa kalau tidak mendapat kebenaran, kerana setiap larangan dan sekatan oleh polis akan dimomokkan sebagai kezaliman pemerintah. Itupun modal untuk menyerang.

 

 

Kalau ditangkap semasa berarak dan disumbat masuk lokap, bukan setakat makan nasi percuma, bila keluar boleh tunjuk, akulah hero Malaysia terakhir!

 

Beraraklah ke mana arah pun, juga sebagai suatu pertunjukan betapa yang berhimpun itu mempunyai semangat yang jitu, utuh dan hati batu serta kematu. Bukan calang orang yang mahu luangkan masa untuk aktivitisme sebegini.

 

Namun apakah maknanya pertunjukan seperti ini? Seperti badut atau sarkis? Atau pertunjukan akan lumba-lumba. Ya, boleh jadi. Teringat pula tulisan blogger Aspan Alias yang mengatakan politik jalanan sebagai ketinggalan untuk zaman moden ini.

 

Itu kata-kata orang yang ahli dan penyokong DAP, gabungan pakatan. Sekadar bertanya lagi, relevankah pertunjukan politik populis ini yang memang dilazimi sejak zaman 60-an dan 70-an, tatkala sudah menjejak kaki 15 tahun di alaf 21. Dan hanya beberapa puluh orang sahaja yang ikut serta. Berubah dan matanglah wahai manusia.

 

Nampaknya, tidak ada perkalihan paradigma yang aktivitis ini bawa dalam menuju perjuangan politik mereka, apatah lagi ia disandarkan pula pada permasalahan peribadi seseorang yang kemudiannya cuba dipotretkan sebagai pengianayaan dan konspirasi. Teringat kata-kata ini, pertama kali mungkin kesilapan, kali kedua apakah ia masih kesilapan juga?

 

Sebenarnya agak menjengkelkan bila perkataan penganiayaan digunakan dengan cara yang culas. Apatah lagi untuk mengatakan buruk orang terhadap diri sendiri. Siapakah yang menganiaya atau dianiaya sebenarnya.

 

Teringat surah daripada Al-Quran yang dijadikan tasbih tatkala sujud pada solat sunat taubat, yang terjemahannya lebih kurang begini, “Tiada Tuhan melainkan Dikau (Allah)! Maha Suci Dikau! Sesungguhnya daku ini termasuk daripada orang yang aniaya (zalim)”.

 

Agak-agaknya siapa yang menganiaya atau zalim, orang terhadap diri sendiri, atau diri terhadap diri sendiri? Tidak perlu jawab, cuma teruskanlah dengan berhimpun dan berarak pada 7 Mac ini pula.

 

Naib Presiden PKR, Tian Chua pun kata, menjadi hak warga untuk berhimpun secara aman. Berhimpunlah, sebab manusia diberikan akal untuk berfikir, kemudian memilih dan membuat keputusan. Ya, kalau perilaku kita andai dilihat bodoh, maka itulah diri kita daripada dalam, bukannya apa yang orang perkatakan kepada diri kita.

 

Berbekalkan #Kita lawan, nampaknya mereka tetap melawan biarpun tanpa kebenaran polis sekalipun. Itu yang dikatakan oleh Ketua AMK, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Tian Chua. Tabik dengan semangat juang ini.

 

Tapi rasanya, sudah sampai masanya mereka harus fikirkan, kenapa tidak hentikan sahaja kerja sia-sia ini. Sia-sia sebab beberapa kali perhimpunan ini diadakan, khabarnya sambutan macam suam-suam kuku dan orang yang rela jadi lembu tarik pun semakin berkurang. Dan berapa kali lagi mahu diadakan. Adakah setiap minggu selama lima tahun? Kalau larat, teruskanlah!

 

Berhimpun dan aktiviti luar sekarang pun tidak digalakkan dalam cuaca membahang. Bimbang terkena strok haba.

 

Lebih baik fikir-fikirkan mudharat pada diri sendiri berbanding memperjuangkan orang lain!

 

Keadilan bukan untuk individu tertentu atau seseorang sahaja. Apatah lagi untuk yang bergelar dan ternama. Kita lupa keadilan untuk si marhaen, atau yang lebih layak tapi diabai, tidak pernah dipandang.

 

Jika #Kita lawan perjuangan politik, untuk individu tertentu, hentikanlah. Dia telah diberi peluang untuk membela diri dengan dibarisi peguam terbanyak dan terhebat pada zamannya. Jika mahu berpolitik dan berjuang, cari dan guna cara lain yang lebih trend dengan zaman. Cari isu dan idea yang lebih bernas dan meyakinkan. Peti undi masih ada setiap lima tahun.

 

Lagipun pada dewasa ini, #Kita lawan sudah semacam sesuatu yang luar tabie.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.