Guling Hadi: Husam Enggan Ulas Sebab Mengantuk

Sabak Bernam – Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa berkata beliau mengantuk dan tidak dapat berfikir dengan elok justeru tidak dapat memberikan komen lanjut berhubung dakwaan komplot menjatuhkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

 

Husam berkata demikian ketika di Sabak Bernam, selepas majlis pimpinan Pusat berjumpa dengan pemimpin akar umbi di Sabak Bernam, hari ini.

 

“Saya mengantuk dan perlu tidur, otak saya tidak tajam (sharp), suruh orang lain komen,” katanya ketika ditemui pada Majlis Kenduri Rakyat dan Meraikan Petugas Banjir bagi kawasan DUN Sungai Panjang.

 

Husam sama seperti pimpinan PAS yang lain mengambil sikap ‘jalan selamat’ setiap kali diajukan soalan mengenai krisis dalaman PAS itu, yang membabitkan golongan ulama dan golongan profesional.

 

Selepas menghadiri majlis perjumpaan itu, pimpinan yang hadir dikatakan mengadakan mesyuarat secara tertutup.

 

Ketika ditanya pemberita, Husam juga enggan mengulas dan berkata mesyuarat itu hanyalah perbincangan ‘anak-beranak’ PAS sahaja.

 

“Saya tidak biasa komen hal-hal dalaman, saya hanya komen isu Negara.

 

“Hal tadi hanya bincang hal anak-beranak. Hal dalaman mana boleh kita cerita pada pihak luar,” katanya.

 

Selain Husam, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan Pengarah Pilihan Raya PAS, Dr. Hatta Ramli turut mengelak menjawab soalan wartawan berhubung siasatan ke atas mereka yang akan dipanggil untuk memberi keterangan kepada lembaga disiplin.

 

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata PAS menunggu masa yang sesuai untuk memulakan siasatan itu.

 

Mohamad Sabu atau dikenali sebagai Mat Sabu dan Hatta sebaliknya menegaskan ‘tiada komen’ ke atas pendedahan dan siasatan yang akan dibuat dalam masa terdekat. – Antarapos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.