‘Gantung Sampai Mati Belum Menakutkan’

SEREMBAN – Sehingga kini terdapat 3,276 banduan masih menunggu hukuman gantung sampai mati, atas hukuman mengedar dadah di negara ini.

 

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, hukuman gantung sampai mati belum dapat menakutkan mereka untuk tidak melakukan kegiatan itu.

 

Katanya, 42 peratus daripada 49,200 banduan seluruh negara adalah pesalah bersabit akta dadah merbahaya.

 

“Jumlah besar ini disebabkan ada individu yang sanggup melakukan apa sahaja termasuk mengupah peguam termahal dan terhebat, semata-mata mahu melepaskan mereka,” katanya pada Majlis Sambutan Hari Anti Dadah Kebangsaan di sini, semalam.

 

Beliau berkata, terdapat pelbagai usaha dilakukan  kementerian termasuklah dalam bentuk perundangan seperti Langkah-Langkah Pencegahan Khas, pembanterasan dan juga pemulihan oleh agensi seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bagi mengurangkan jumlah penagih dadah di seluruh negara.

 

“Namun jumlah mereka berdaftar dengan AADK setiap tahun meningkat, dan ini membimbangkan,” katanya.

 

Statistik menunjukkan pada 2012, jumlah mereka yang berdaftar 15,101, namun meningkat kepada 20,887 pada tahun 2013 dan 21,227 pada 2014.

 

“Draf peningkatan ini perlu diubah dan kerajaan sangat memerlukan kerjasama semua pihak termasuk masyarakat dalam bersatu membasmi dadah,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.