Felda Nyaris Singkirkan Selangor

KUALA LUMPUR – Juara lima kali Selangor bangkit daripada ketinggalan dua gol sebelum meneruskan kemaraannya dalam saingan Piala FA selepas menang menerusi penalti penentuan 4-2 ke atas Felda United di Stadium MP Selayang, dekat sini semalam.

 

Selangor bakal berhadapan Terengganu dalam pusingan ketiga.

 

Selangor sebelum itu ketinggalan menerusi sepakan penalti Bojan Miladinovic pada minit ke-47 dan Makeche Ndumba dua minit kemudian.

 

Namun jaringan Ahmad Hazwan Bakri pada minit ke-79 dan tandukan Guilherme De Paula pada minit ke-87 memaksa perlawanan diheret ke masa tambahan namun kedua-dua pasukan gagal mencari gol pemutus untuk memaksa pemenang ditentukan menerusi penalti.

 

Pertemuan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah menyaksikan T-Team menewaskan ATM 3-0 menerusi dua jaringan pemain import, Farhod Tadjiev dan Safawi Rasid pada masa tambahan selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan selepas tempoh 90 minit.

 

Lions XII mencatatkan kemenangan selesa 4-0 ke atas Persatuan Bolasepak Melayu Kedah dalam aksi yang berlangsung di Stadium Darul Aman.

 

Sahil Suhaimi menyumbang dua gol manakala Afiq Yunos dan Gabriel Quak masing-masing menyumbang satu gol bagi memastikan kejayaan pasukan dari seberang tambak itu.

 

Pertembungan di Stadium Hang Jebat pula berkesudahan Terengganu menang 3-1 ke atas Melaka United menerusi dua jaringan bekas penyerang Selangor, Paulo Rangel dan Abdul Manaf Mamat.

 

Pertemuan di Stadium Pasir Gudang dicemari dengan insiden kad merah apabila tiga pemain PKNS, Muhd. Khairu Azrin Khazali, Patrick Ronaldinho dan Mohd. Fazli Baharuddin dibuang padang dalam perlawanan yang menyaksikan JDT II bangkit untuk menang 2-1.

 

PKNS membuka tirai jaringan seawal minit pertama menerusi Keisuke Ogawa sebelum Leandro Velaquez menyamakan kedudukan. Ketika perlawanan hampir diheret ke masa tambahan, kapten JDT II, Shahril Ishak menjadi hero tuan rumah apabila menjaringkan gol kemenangan.

 

Jaringan tunggal Faiz Subri memastikan Pulau Pinang menang 1-0 ke atas Perlis dalam aksi yang berlangsung di Stadium Bandaraya.

 

Aksi di Stadium Darul Makmur menyaksikan Shahzan Muda tewas 1-3 kepada Perak manakala satu lagi wakil Pahang, Kuantan FA juga tewas 0-3 kepada KL SPA dalam aksi yang berlangsung di Stadium Peta­ling Jaya. – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.