Ada Barua Dalam PAS – Nik Abduh

Bagan Serai – Wujud kelompok dilabelkan sebagai ‘barua’ dalam PAS yang lebih wala’ (ketaatan kepada pimpinan) Pakatan Rakyat (PR) berbanding terhadap perjuangan sebenar PAS, kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz.

 

Beliau berkata, kelompok ini dikesan cuba memisahkan pemikiran Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan bapanya, bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

 

Selain itu mereka berusaha memecah-belah parti agar menyimpang daripada perjuangan sebenar telah wujud sejak beberapa tahun kebelakangan.

 

“Lebih kurang lima tahun dahulu saya pernah menulis satu artikel kontroversi yang bertajuk ‘Kerja-kerja bodoh dalam PAS’ sewaktu arwah Tuan Guru ayah saya (Nik Abdul Aziz) berada di Makkah,” katanya.

 

Beliau menambah, “Ia menjadi kekecohan di seluruh negara sehinggakan ada pihak menelefon Tok Guru arwah ayah supaya mengarahkan artikel saya ditarik balik.”

 

“Sebenarnya tujuan artikel itu ditulis adalah bagi memberi gambaran kepada kesemua ahli PAS terhadap kewujudan usaha untuk memisahkan golongan ulama dan golongan profesional dengan pelbagai cara, termasuk lemparan fitnah ‘Kerajaan Perpaduan’ terhadap Presiden PAS,” katanya ketika berucap merasmikan Nadwah Pemerkasaan Du’at (Nekad) 6.0 di Markas Pas Masjid Tinggi, lapor Sinar Harian.

 

Nik Abduh menambah, dakwaan kewujudan golongan pemisah seperti yang didedahkan beliau akhirnya menjadi nyata dan beliau gembira kerana ayahnya sempat melihat perkara tersebut sebelum meninggal dunia.

 

Beliau berkata, semua ahli PAS perlu kembali kepada Allah dan Rasulullah dalam mengatasi krisis kepimpinan tertinggi parti.

 

“Kesemua ahli parti perlu kembali taat kepada pemimpin dan beristiqamah terhadap asas sebenar perjuangan PAS, iaitu menyebarkan syiar dan dakwah Islamiah di negara ini.

 

“Paling penting, yang menang dalam perjuangan ialah mereka yang istiqamah dalam perjuangan kerana Allah dan kesemua ahli PAS perlu mentaati pemimpin utama memandangkan PAS merupakan parti jamaah Islamiah dan bukan berlandaskan demokrasi,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.