Lebih 2,000 Proton SUV X70 Dijual Sepanjang Januari 2019

KUALA LUMPUR – Proton Holdings Bhd. (Proton) mencatatkan jumlah pendaftaran kenderaannya sebanyak 7,007 buah pada Januari 2019 dan menguasai pegangan pasaran dianggarkan sebanyak 14.5 peratus.

Syarikat itu berkata, Proton X70 iaitu kenderaan utiliti sukan (SUV) pertamanya mendahului jualan selepas dilancarkan pada 12 Disember 2018 dengan mencatatkan pendaftaran sebanyak 2,777 buah pada Januari 2019.

Katanya, Proton X70 telah mencatatkan rekod baharu sebagai SUV segmen C paling banyak didaftarkan dalam masa sebulan.

“Jumlah besar yang didaftarkan bagi SUV tersebut adalah penting pada Proton yang mempamerkan angka pertumbuhan jualan mengagumkan. Berbanding dengan jualan bulan sebelumnya, jualan telah meningkat sebanyak 33.6 peratus sementara perbandingan dari tahun ke tahun, angka tersebut mewakili pertumbuhan sebanyak 46.5 peratus dari Januari 2018.

“Ini menjadikan Proton mendahului pasaran dalam kadar pertumbuhan bagi jenama automotif antara ketiga yang teratas,’’ katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Selain itu katanya, satu lagi pencapaian syarikat yang mendahului industri adalah pada jumlah kemudahan yang ada untuk cawangan 3S/4S dengan merekodkan sebanyak 74 cawangan dan akan banyak lagi dibuka pada tahun ini.

Cawangan-cawangan itu katanya, akan bergandingan membantu Proton dalam mencapai sasaran untuk Indeks Perkhidmatan Jualan (SSI) dan Indeks Perkhidmatan Pelanggan (CSI). – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.