Benteng City Makin Kukuh

Oleh: suzein yana

Pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City, memeterai rekod pembelian termahal kelab dengan menandatangani pertahanan Athletic Bilbao, Aymeric Laporte selepas memenuhi syarat pampasan awal pagi tadi sementara Pierre-Emerick Aubameyang dilaporkan tiba di padang latihan Arsenal bagi melengkapkan perpindahannya dari Borussia Dortmund sebelum jendela perpindahan berakhir hari ini.

City dilaporkan membayar 57 juta pound (RM314.48 juta),rekod tertinggi kelab bagi pertahanan Athletic Bilbao. Laporte, mengatasi nilai 55 juta pound (RM303.47 juta) yang dibayar untuk Kevin De Bruyne pada tahun 2015.

Kehadiran pemain yang belum pernah membarisi skuad Perancis itu hangat diperkatakan sejak Pep Guardiola tiba di Manchester pada 2016 dan akhirnya selesai hari ini dengan kontrak sehingga 2023.

Pemain 23 tahun itu juga muncul sebagai pertahanan kedua termahal dalam sejarah di belakang Virgil van Dijk, yang memaksa Liverpool berbelanja 75 juta pound (RM413.85 juta) untuk mendapatkannya dari Southampton awal bulan ini.

Laporte yang telah menghabiskan seluruh kerjayanya di Athletic, dilaporkan memilih untuk tidak menyertai City pada 2016 kerana sedang dalam pemulihan daripada pergelangan kaki yang patah.

Dia terlepas perlawanan LaLiga menentang Eibar minggu lalu di sebalik jurulatih, Jose Angel Ziganda, menyatakan kesediaan untuk menurunkan pemain itu.

Minggu lalu Alexis Sanchez menyertai Manchester United dari Arsenal sebagai pertukaran untuk Henrikh Mkhitaryan dan dengan masa semakin suntuk, pengendali Arsenal Arsene Wenger dilihat akan menandatangani Aubameyang bagi menguatkan jentera serangannya.

Dengan kelebihan 12 mata dalam carta teratas EPL dan mengesahkan tempat ke final Piala Liga (EFL), lewat kebelakangan ini skuad kendalian Guardiola itu kerap terdedah di bahagian pertahanan.

Perlawanan tanpa dibolosi di Cardiff City dalam pusingan keempat Piala FA pada Ahad lalu merupakan rekod bersih pertama mereka dalam tujuh perlawanan manakala Vincent Kompany masih lagi bergelut mengembalikan kecergasan sambil bek kiri, Benjamin Mendy dan Fabian Delph, dilanda kecederaan.

Dengan City tidak dapat bergantung kepada ketua pasukan mereka, ditambah pula dengan Guardiola yang kurang percaya kepada Eliaquim Mangala, maka City memancing Laporte untuk mengukuhkan bahagian pertahanan mereka.

Guardiola kini telah membelanjakan lebih 200 juta pound (RM1.1 bilion) untuk memperkuatkan bentengnya, membawa masuk Laporte selepas berjaya mendapatkan Benjamin Mendy (52 juta pound – RM286.9 juta), John Stones (47.5 juta pound – RM262.1 juta) dan Kyle Walker (45 juta pound – RM248.3 juta)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.