Najib, Rosmah Redah Sungai Naik Bot

PEKAN – Biarpun terpaksa menaiki bot, mengharung sungai dan melalui jalan terputus hubungan, namun Perdana Menteri Seri Najib Tun Razak tetap kental menghadapinya demi melawat mangsa banjir di beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Pekan.

Sebaik tiba di Jambatan Sungai Kinchir pada pukul 3 petang ini, Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor menaiki bot jenis amphibious melalui Jalan Salong yang ditenggelami air sedalam satu meter sebelum ‘dijemput’ dengan bas sekolah untuk ke PPS Sekolah Kebangsaan Kinchir, Paloh Hinai.

Najib dan Rosmah kemudiannya bertanya khabar dan berkongsi cerita dengan warga emas yang ditempatkan di pusat pemindahan itu yang menjadi ‘rumah sementara’ kepada 53 mangsa daripada 15 keluarga dari sekitar Kampung Salong.

Selesai lawatan di situ, Najib dan isteri kemudiannya menaiki bot penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang meredah arus Sungai Pahang sejauh 20 kilometer yang memakan masa lebih 45 minit untuk ke PPS Tanjung Lepar.

PPS itu menempatkan 20 mangsa daripada enam keluarga.

Selain bertanya khabar, Najib dan Rosmah turut sama menikmati ubi kayu dan keledek rebus serta pengat pisang yang menjadi juadah minum petang penghuni PPS itu.

Kesungguhan Najib yang juga Anggota Parlimen Pekan untuk bersama-sama mangsa banjir sangat amat menyentuh perasaan penduduk Pekan dan amat menghargainya.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tanjung Lepar Mat Lela Musa, 53, berkata juadah itu dimasak khusus orang kampung secara bergotong-royong bagi menyambut kedatangan perdana menteri dan isteri.-Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.