Mesyuarat Penentu Kerjasama PAS-PPBM Tiada Kata Putus

PETALING JAYA – Mesyuarat yang dilihat sebagai “penentu” kerjasama pilihan raya antara PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak dapat memutuskan bentuk kerjasama antara mereka.

 

Sebaliknya, PAS dan PPBM akan membawa pulang “rangka kerja persefahaman politik” yang dicapai dalam pertemuan tadi untuk dipertimbangkan pimpinan tertinggi kedua-dua parti.

 

Pemimpin tertinggi kedua parti tidak menyertai mesyuarat “penentu” hari ini. Delegasi PAS diwakili Timbalan Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man manakala delegasi PPBM diketuai Timbalan Presiden Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

 

“Kami memperhalusi draf rangka kerjasama persefahaman politik PAS-PPBM dalam menghadapi PRU14 dan beberapa ketetapan positif telah diambil dalam usaha memeterai kerjasama.”

 

“Rangka ini akan diperhalusi pimpinan tertinggi kedua-dua parti untuk ditandatangani Presiden masing-masing pada waktu terdekat,” kata mereka dalam kenyataan bersama.

 

PAS dan PPBM akan menubuhkan satu “jawatankuasa teknikal bersama” untuk melaksanakan keputusan yang dicapai kedua pihak.

 

Sebelum ini, Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad berkata mesyuarat hari ini menjadi penentu kepada kerjasama antara PAS dan partinya.

 

Keputusan membentuk jawatankuasa teknikal bersama itu menyusuli serangan PAS terhadap Dr Mahathir.

 

Pertemuan dilakukan di sebuah lokasi rahsia di Bangsar, di saat wartawan memenuhi ibu pejabat PAS di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. Ia sepatutnya diadakan pada Khamis tetapi diawalkan ke hari ini.

 

Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Mustafa Ali ketika dihubungi FMT hari ini enggan memberitahu keputusan dan persefahaman yang dicapai dalam pertemuan itu.

 

PPBM cuba menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan dan juga PAS, dua pihak yang tidak sefahaman.

 

Ketika Konvensyen Pakatan Harapan November lalu, Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan hasrat parti untuk menyertai gabungan itu.

 

Beberapa pemimpin PAS pula, antaranya naib presiden Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata mereka sedia bekerjasama dengan PPBM, tetapi bukan dengan Amanah dan DAP. – Fmt

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.