Negara Perlu Menteri Yang Bijak, Kata TMJ

KUALA LUMPUR – Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, penting bagi kerajaan mengambil langkah menambah baik sistem pentadbirannya dengan menolak menteri yang disifatkan sebagai ‘bahan jenaka’.

 

Menurutnya, Malaysia memerlukan menteri yang bijak untuk berkhidmat kepada rakyat dan bukannya menebalkan poket sendiri.

 

“Saya amat menjaga kebajikan rakyat Johor dan juga rakyat Malaysia lain.

 

“Terdapat beberapa pihak yang cuba sedaya upaya untuk mendiamkan saya. Tetapi berada di kedudukan saya, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk menyuarakan pendapat ikhlas saya untuk kebaikan negeri tercinta dan juga negara,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook.

 

Bagaimanapun, Tunku Ismail tidak mengulas lanjut berkenaan menteri yang dimaksudkan atau pihak yang cuba mendiamkan beliau.

 

Kenyataan itu dibuat hanya beberapa hari selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan langkah pengubahsuaian belanjawan 2016, kesan kejatuhan harga minyak dunia serta kemerosotan nilai ringgit.

 

Menurut Tengku Ismail lagi, Ada bahagian masih lemah apabila ada isu politik diperkatakan, ia bukan untuk beliau atau bersifat peribadi sebaliknya dilakukan demi rakyat.

 

Menurutnya beliau kini amat mengambil berat tentang keadaan politik di negara ini.

 

Beliau turut meminta rakyat agar turut serta menjadikan negara ini tempat yang lebih baik untuk generasi akan datang.

 

“Apabila saya menyuarakan pendapat, ia tidak bertujuan mencetuskan ketegangan dengan kerajaan Persekutuan tetapi dengan niat untuk bekerja bersama-sama menjadikan negara ini tempat yang lebih baik.

 

“Saya bukan seorang ahli politik dan saya tidak perlukan sebarang undi.

 

“Saya hanya seorang putera yang sayangkan rakyat dan apa yang saya katakan atau lakukan, adalah untuk kesejahteraan mereka.

 

“Dengan rendah diri, saya ingin memberi nasihat untuk kerajaan, langkah pertama dalam usaha menambah baik sistem adalah dengan mengeluarkan beberapa menteri yang dianggap sebagai bahan jenaka,” katanya.

 

Sementara itu, Tunku Ismail juga berjanji untuk terus bersuara untuk “memperbaiki bahagian-bahagian tertentu yang masih lemah” demi kepentingan rakyat.

 

“Ia adalah tugas dan tanggungjawab saya sebagai Tunku Mahkota (Johor) untuk berkhidmat kepada rakyat Johor,” ujarnya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.