Bantuan Langsung Dari Kerajaan Untuk Mangsa Banjir

Oleh: Shahril Sufian Hamdan

BANTUAN Banjir Keluarga Malaysia yang disenaraikan oleh YAB Perdana Menteri malam ini jelas memberi alternatif kepada cadangan lain mahupun usaha-usaha yang telah diumumkan.

Sebelum ini timbul kekhuatiran bahawa antara tawaran yang telah diumumkan lebih awal, iaitu pinjaman daripada Tekun dan BSN walaupun pada kadar 0% faedah dan moratorium automatik, akan menambah hutang mangsa banjir. Ternyata pandangan ini telah diambil kira dan kali ini, sebagai tambahan, Kerajaan tampil dengan bantuan-bantuan berbentuk suntikan perbelanjaan dari Kerajaan, bukannya simpanan pencarum sendiri.

Jumlah bantuan tunai dan baucar tunai kepada mangsa banjir juga mencecah RM 10 ribu – malah amaun lebih besar daripada itu jika malangnya ada kerosakan kediaman yang serius atau kemusnahan kediaman. Ini menjadikan jumlah bantuan langsung dari Kerajaan kepada sesebuah isi rumah yang terkesan boleh bernilai sehingga sebanyak RM 61 ribu.

Sekaligus ia mengelak mangsa banjir yang masih mempunyai simpanan KWSP perlu terus meminjam dari masa depan sendiri dan terlepas peluang pendapatan dividen tahunan KWSP tersebut. Maka, dengan pengumuman malam ini, Kerajaan dilihat sedang berusaha mengimbangi antara keperluan mendesak semasa, dan tanggungjawab sesebuah Kerajaan memelihara masa depan rakyat dan negara.

Disamping itu, bantuan yang diumumkan mampu meliputi semua mangsa banjir – termasuk mereka yang bukan pencarum KWSP atau yang telah mengeluarkan caruman melalui 3 skim sebelum ini (iLestari, iSinar, iCitra) sehingga sebanyak RM19,500 seorang.

Juga menarik ialah segala perancangan yang ditekankan semula oleh YAB Perdana Menteri berkenaan keutamaan tahun 2022 sebagai tahun merancakkan kembali ekonomi makro dan ekonomi rakyat – membina atas beberapa tanda-tanda positif mutakhir ini seperti peningkatan FDI, pengurangan pengangguran, kenaikan nilai jualan borong dan runcit, dan sebagainya.

Semoga segala perencanaan yang mengambilkira segenap suara dan sudut dapat dilaksanakan secepatnya serta sebaiknya, bagi memberi sinar baru kepada rakyat dan negara.

Mudah-mudahan, penularan varian Omicron juga dapat diurus supaya merealisasikan harapan kebangkitan ekonomi dunia dan khususnya negara Malaysia pada tahun 2022. Tidak dinafikan, timbul keresahan akibat angka-angka penularan dan kebolehjangkitan tinggi yang disaksikan di negara lain sehingga melepasi rekod-rekod sebelum ini. Misalnya, Amerika Syarikat (589 ribu kes harian baru), Perancis (206 ribu) dan United Kingdom (188 ribu).

Namun, kita juga wajar mengambil maklum petanda awal dari negara lain turut menggambarkan bahawa varian ini mungkin tidak “seganas” varian lain, dengan kadar kemasukan hospital dan kematian lebih rendah daripada sebelumnya. Sama-sama kita berdoa bahawa buat negara kita, cabaran ini serta ujian lain dapat terus dikendali dan didepani bersama dengan sebaiknya.

Selamat Tahun Baharu 2022.

P/s: Penulis ialah Pengarah Ekonomi di Pejabat Perdana Menteri.