Ahli UMNO Perlu Tetapkan Hala Tuju Parti – Najib

- Advertisement -

CYBERJAYA: Bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan ahli parti terbesar orang Melayu itu agar menggunakan mesyuarat tahunan parti hujung minggu ini untuk menetapkan hala tuju parti dalam landskap politik semasa.

Najib berkata pesanannya itu dibuatkan kerana UMNO adalah hak milik ahli-ahli parti itu .

Beliau berkata UMNO bukan milik mana-mana individu atau pemimpin untuk ditentukan hala tujunya, ketika parti-parti politik terus berbincang mengenai kerjasama dan gabungan sejak percaturan kuasa yang menjatuhkan Pakatan Harapan hampir 10 bulan lalu.

“Inilah peluang bagi akar umbi menilai perkembangan sepanjang masa ini dan menentukan sendiri ke mana hala tuju UMNO – setuju atau tidak, dengan siapa, kenapa, bagaimana.

“Suarakan, bahaskan, dan usulkan. UMNO bukan milik mana-mana individu. UMNO bukan milik mana-mana pemimpin. Janganlah kita benarkan UMNO dipengaruhi oleh mana-mana musuh dalam selimut mahupun pihak luar. 

“UMNO milik rakyat dan akar umbi UMNO yang setia selama-lamanya,” katanya, dalam perutusan kepada ahli UMNO yang disebarkan melalui Facebook.

Najib bagaimanapun tidak menyebut individu atau pemimpin, atau musuh dalam selimut yang dimaksudkan.

Najib memberikan pandangannya ketika semua 191 bahagian UMNO termasuk sayap-sayap parti di seluruh negara  bersidang secara dalam talian antara hari ini hingga Ahad, menjelang Perhimpunan Agung UMNO 2020 yang ditetapkan pada hujung bulan ini.

“Jika ada satu nasihat yang diminta saya berikan, pendapat saya, kita perlu beranikan diri kita (untuk bersuara),” katanya.

Jelas bekas perdana menteri, UMNO perlu terus berani berjuang untuk rakyat kerana parti itu masih “tetap utuh dan kekal berdiri” sampai hari ini kerana ahli-ahlinya yang setia dan rakyat yang masih menyokongnya.

“Banyak dasar yang baik untuk rakyat yang boleh kita perjuangkan. Beranikan diri. Lawan tetap lawan.

“Tidak ada ikatan politik yang lebih penting daripada kita dengan rakyat. Rakyat didahulukan dulu, kini dan selamanya,” kata Najib.

Persidangan tahunan itu ditangguhkan pada Oktober tahun lalu ketika penularan Covid-19 meningkat dengan mendadak selepas Pilihan Raya Negeri Sabah.

Persidangan UMNO bahagian tahun ini dijangka akan memberi tumpuan kepada isu masa depan parti itu dan kerjasama politiknya dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Semasa jadi pembangkang, UMNO membentuk kerjasama dengan PAS atas nama Muafakat Nasional demi mengukuhkan kepentingan Melayu-Islam, yang dimeterai piagamnya pada September 2019. 

Selepas percaturan politik yang membentuk kerajaan baharu pada Februari lalu, PAS bekerjasama pula dengan Bersatu untuk mengasaskan PN, yang turut disertai dua parti dari Sabah. PN diluluskan pendaftarannya pada Ogos lalu.

UMNO dan Barisan Nasional bagaimanapun memutuskan tidak menyertai PN.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat