PH Tak Bincang Tempoh Tun M Jadi PM Selama 2 Tahun – Saifuddin

KUANTAN – Pakatan Harapan (PH) tidak pernah membincangkan tempoh Tun  Dr Mahathir Mohamad menjawat jawatan Perdana Menteri di dalam mesyuarat presidennya.

Ketua Sekretariat PH, Datuk Saifuddin Abdullah sebaliknya berkata, gabungan itu cuma membuat keputusan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diangkat ke jawatan tersebut selepas Dr Mahathir.

“PH cuma mempunyai keputusan dan perjanjian bahawa selepas Tun M (Dr Mahathir), Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah perdana menteri seterusnya. Kita tidak bincangkan tempoh kerana mereka saling memahami.

“Mereka juga adalah tokoh besar yang seharusnya dapat menentukan waktu terbaik untuk peralihan kuasa dan sebagainya,” katanya ketika ditanya sama ada wujud perjanjian konkrit Dr Mahathir hanya menjadi perdana menteri selama dua tahun.

Ahli Parlimen Indera Mahkota itu berkata demikian kepada pemberita selepas beramah mesra dan memberikan motivasi kepada pelajar Tingkatan Enam semester dua di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Astana, di sini.

Isu tempoh perjawatan itu kembali timbul selepas beberapa perwakilan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang berbahas pada perhimpunan agung parti hujung minggu lalu mengusulkan agar Dr Mahathir dikekalkan sehingga pilihan raya umum ke-15 (PRU15). 

PH sebelum ini menamakan Anwar yang juga Presiden PKR sebagai pengganti Dr Mahathir bagi jawatan perdana menteri.

Bagaimanapun, Dr Mahathir dalam kenyataannya baru-baru ini berjanji akan menyerahkan jawatan itu kepada Anwar selepas dua tahun. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.