Perwakilan PPBM Diberi Cenderamata Beg Berjenama Herschel Tiruan?

KUALA LUMPUR – Para perwakilan PPBM yang sebelum ini seronok melaram beg berjenama Herschel dari Kanada yang diterima semasa Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) 2018 parti itu minggu lalu, kini mungkin merasa kecewa apabila beberapa pihak mendakwa beg tersebut adalah produk palsu atau tiruan.

“Pihak Herschel Supply Co. semalam mengeluarkan satu kenyataan melalui emel memaklumkan model beg-beg yang diedarkan di Himpunan Bersatu adalah beg tiruan.

“Kenyataan yang merupakan jawapan balas dari pertanyaan seseorang itu berkata mereka tidak dapat mengecam reka bentuk beg yang dipaparkan.

“Herschel menegaskan bahawa reka bentuk beg yang diterima oleh perwakilan Bersatu tempoh hari tidak pernah dikeluarkan oleh pihak mereka sama sekali,” lapor beberapa blog yang turut menyertakan salinan emel daripada Herschel.

Laporan sama yang turut viral di media sosial itu juga menggesa kerajaan melakukan siasatan dan menghukum pihak berkenaan sekiranya perkara tersebut sahih.

“Jika email bertarikh 29 Disember 2018 itu sahih, ia sekaligus mendedahkan Bersatu yang kini telah menjadi rejim pemerintah pada hari ini melakukan kesalahan membeli dan mengedarkan barang tiruan.

“Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 menyatakan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barangan atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun.

“Harap pihak berkuasa dapat menyiasat perkara ini dan menghukum pesalah-pesalah yang terlibat. Janganlah oleh sebab kesalahan ini dilakukan oleh parti dalam rejim kerajaan Pakatan Harapan maka pihak berkuasa menutup mata,” kata laporan itu lagi.

Sementara itu, tinjauan di beberapa laman beli belah atas talian menunjukkan beg jenama Herschel yang asli dijual pada harga RM111 hingga lebih RM400 setiap satu mengikut saiz dan rekaan.

Pada minggu lalu, perwakilan PPBM diberi cenderamata beg Herschel selepas selesai proses pendaftaran bagi menyertai perhimpunan agung tahunan kedua PPBM di Putrajaya.

Beg berkenaan diagihkan dalam pelbagai warna, saiz dan rekaan serta turut tertera cetakan logo PPBM. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.