Pemimpin DAP Persoal Kerajaan PH Guna Semula Undang-Undang ‘Zalim’ Zaman BN

PETALING JAYA – Naib Pengerusi DAP P Ramasamy mempersoalkan sikap Kabinet kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang sebelum ini menentang penggunaaan undang-undang zalim di bawah Barisan Nasional (BN), tetapi berpura-pura seperti tidak ada apa-apa yang berlaku apabila undang-undang itu digunakan hari ini .

Ramasamy berkata, adakah kerajaan PH mahu mengaktifkan undang-undang seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma), Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan) (Poca), Akta Pencegahan Keganasan (Pota) dan Akta Hasutan sepenuhnya seperti disebut oleh menteri dalam negeri baru-baru ini.

“Kenapa pihak komponen lain tidak menentang tindakan sedemikian? Adakah insiden kuil Seafield merupakan satu bencana besar dan kita harus mengaktifkan undang-undang lama yang tidak releven dan sudah dikuburkan?

“Adakah kita benar-benar kehausan idea baru dan bergantung pada usaha jahat BN yang dengan sengaja cuba menangkis penangkapan berdasarkan alasan perkauman?

“Adakah kebetulan Sosma digunakan, terutamanya pada satu kumpulan etnik?” katanya dalam satu kenyataan, di laman Facebook miliknya.

Ramasamy merujuk kepada penahanan beberapa individu dipercayai terbabit dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, Subang Jaya yang menyebabkan kematian seorang anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, Nov lepas.

Pada 30 Dis, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ucapan penggulungannya pada perhimpunan agung tahunan PPBM berkata, kerajaan tidak berhajat menghidupkan semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan akan menggunakan undang-undang yang ada bagi mengekalkan keamanan dan keselamatan negara

Muhyiddin yang juga menteri dalam negeri berkata, hasil dapatan sebuah jawatankuasa yang dibentuk mendapati undang-undang seperti Sosma dan Poca penting dan harus dipertahankan, walaupun mungkin memerlukan beberapa pindaan.

Ramasamy yang juga timbalan ketua menteri II Pulau Pinang berkata, dalam perkara membabitkan keputusan kerajaan PH, beliau tidak pasti apakah bezanya kerajaan PH dengan BN.

“Saya tidak faham bagaimana Kabinet boleh membenarkan penggunaan undang-undang ini berdasarkan kepada rusuhan di kuil Seafield.

“Jika rusuhan lain berlaku pada masa akan datang, adakah kita mencadangkan akan mengaktifkan semula ISA atau Ordinan Darurat (EO)?

“Terdapat banyak harapan kerajaan baru PH akan membawa perubahan yang progresif, tetapi pada dasarnya kita seolah-olah terperangkap dengan isu masa lampau,” katanya. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.