Jarak Sekolah Jauh, 100 Anak Orang Asli Tidak Bersekolah

GUA MUSANG – Kira-kira 100 murid Orang Asli daripada suku kaum Batek di dua buah kampung di Pos Lebir, Gua Musang tercicir untuk mengikuti sesi persekolahan kerana kedudukan sekolah jauh dari kampung mereka.

Kesemua murid yang berusia antara tujuh hingga 12 tahun itu tinggal di Kampung Kuala Koh dan Kampung Aring 5 yang terletak hampir 100 kilometer dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Linggi.

Penghulu Kampung Aring 5, Raina Anjang berkata, walaupun sekolah itu mempunyai asrama, ibu bapa Orang Asli mendakwa mereka tidak rela berjauhan dengan anak mereka dalam tempoh lama.

Difahamkan, kanak-kanak Orang Ali itu tidak tahu menguruskan diri kerana masih kecil hingga menjadikan faktor ibu bapa enggan membenarkan anak mereka tinggal di asrama sekolah.

“Jika dicampur dengan Kampung Kuala Koh hampir 100 murid tidak pergi sekolah kerana tidak berdaftar. Itu merugikan kerana ramai tidak dapat bersekolah,” katanya ketika ditemui pemberita.

Sehubungan itu, Orang Asli berharap agar kerajaan dapat membina sekolah berdekatan dengan kampung mereka.

Murid Orang Asli yang tidak bersekolah itu kini hanya tinggal bersama ibu bapa mereka. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.