Video: PAS Johor Lapor Polis Tuduhan Mahathir Berkaitan Tragedi Memali

JOHOR BAHRU – PAS Johor hari ini membuat laporan polis mengenai ucapan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengaitkan parti itu dengan peristiwa berdarah Memali.

Laporan itu dibuat oleh Ketua Penerangan PAS Johor, Shamsudin Jaafar, di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan, dekat sini.

Turut serta Pesuruhjaya PAS Johor, Abdullah Hussein yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa serta kira-kira 15 ahli parti terbabit.

Shamsudin berkata, kenyataan Dr Mahathir yang turut mengaitkan Mufti juga tindakan jahat dan fitnah besar kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Sehubungan itu beliau turut meminta kerajaan segera menjalankan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai peristiwa Memali itu supaya kebenaran sebenar dibongkar.

“Menerusi siasatan suruhanjaya itu rakyat akan mendapat cerita yang benar, bukan palsu, andaian atau fitnah,” katanya pada sidang media selepas membuat laporan polis.

Shamsudin berkata, kenyataan Dr Mahathir hanya dibuat untuk melepaskan diri beliau sendiri kerana ketika peristiwa itu berlaku, dia adalah Perdana Menteri pada masa itu.

“Semua kenyataan Tun Mahathir itu dibuat dengan berniat jahat dan bersifat semata-mata bagi memburukkan nama baik Presiden PAS dan Mufti.

“PAS menggesa pihak polis mengambil tindakan segera terhadap Tun Mahathir. PAS bimbang dengan kenyataan jahat dan fitnah ini boleh menyebabkan orang Melayu, khususnya akan berpecah belah, mufti tidak dihormati dan semua yang terbabit dalam peristiwa berdarah Memali akan bermusuhan selamanya,” katanya.

Kelmarin pada Dr Mahathir berucap pada Perhimpunan Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dilaporkan berkata kegagalan mufti menyangkal fatwa ekstrem yang dikeluarkan Hadi membawa kepada tragedi Memali.

Beliau turut menuduh mufti tidak mempersoalkan fatwa yang disifatkan estrem sebagai punca berlakunya tragedi berdarah Memali di Kedah pada tahun 1985.

Dr Mahathir turut menyifatkan PAS sebagai parti yang memperalatkan agama sehingga membawa kepada ketaksuban dalam kalangan ahlinya seperti yang berlaku di Memali. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.