Terengganu Sambut Ambang Tahun Baru 2018 Dengan Solat Hajat

KUALA TERENGGANU – Ambang Tahun Baharu 2018 di Terengganu diraikan dalam suasana penuh sederhana dengan pendekatan berbeza menerusi penganjuran program berbentuk keagamaan di Stadium Tertutup Gong Badak di sini malam tadi.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman menyertai solat hajat tepat pukul 12 tengah malam bersama barisan jemaah termasuk dalam kalangan pelajar bagi memohon kesejahteraan dan keselamatan rakyat serta negeri.

Solat hajat berkenaan dipimpin oleh Penolong Pesuruhjaya II (Pengurusan Masjid) Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Muhammad Ash-Shafie Abd. Manan.

Sepanjang program yang berlangsung lebih tiga jam itu, para hadirin turut disajikan dengan slot khas bersama wakil Aman Palestin Berhad (Aman Palestin), forum perdana, persembahan nasyid dan alunan selawat.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail, barisan Exco dan para pegawai kanan kerajaan negeri serta para pemimpin dan masyarakat setempat.

Tanpa acara pertunjukan bunga api dan yang bercorak liburan tidak menghalang orang ramai keluar membawa keluarga dan rakan-rakan berkumpul di lokasi ini bagi mengikuti pelbagai pengisian program yang disediakan penganjur.

Terdahulu, Ahmad Razif turut menyampaikan sumbangan cek bernilai RM500,000 kepada Ahli Lembaga Pengarah Aman Palestin, Hasimah Saleh. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.