Spiderman Sambut Murid Tahun 1

KUALA TERENGGANU – Kemunculan adiwira ‘Spiderman’ yang menyambut kedatangan murid Tahun Satu di Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman 1 (SKSS1) di sini, berjaya menghilangkan rasa gugup murid yang baru memulakan persekolahan hari ini.

Malah, semua murid yang baru memulakan persekolahan di sekolah itu teruja apabila adiwira berkenaan meluangkan masa selama sejam di dalam kelas dan dewan bagi menceriakan murid Tahun Satu, lapor BH

Guru Besar, Mohamad Kabidi Mohamad, berkata idea daripada Unit Kaunseling untuk membawa adiwira Spiderman bagi menceriakan suasana, selain menghilangkan rasa takut murid Tahun Satu yang baru mendaftar di sekolah berkenaan, ternyata berhasil.

“Usaha ini nyata berjaya apabila semua murid dilihat gembira dan teruja didekati adiwira ini sejak sesi persekolahan bermula jam 7.30 pagi tadi.

“Kita harap dengan cara ini dapat memberi semangat dan keseronokan kepada murid terutama Tahun Satu untuk belajar di sekolah ini,” katanya.

Sementara itu, di Kuala Nerus, walaupun mengalami masalah injap jantung kritikal, Muhammad Amirul Mukmin Nasrulhaq Zamri, 7, tetap teruja mendaftar memasuki Tahun Satu dan bertemu rakan baharu di SK Tok Jembal (SK T’jemS) di sini, hari ini.

Muhammad Amirul yang juga seorang daripada 163 murid berdaftar di sekolah berkenaan, ternyata gembira dapat bersama rakannya belajar di sekolah, meskipun dia tidak boleh bergerak aktif.

Guru Besar SK T’jemS, Aznordin Jahan, berkata pihaknya akan memastikan keperluan murid berkenaan terutama daripada segi perubatan dan kemudahan lain supaya Muhammad Amirul selesa menuntut ilmu di sekolah itu.

“Ketika pendaftaran tadi, ibunya memaklumkan kepada pihak sekolah anaknya hanya mempunyai satu injap jantung dan tidak boleh menjalankan aktiviti lasak kerana ia mengakibatkan pendarahan pada rongga badannya termasuk telinga serta hidung.

“Jadi, pihak sekolah akan menyediakan kemudahan kepada murid ini dengan menempatkannya di kelas lebih selesa bagi mengelak perkara tidak diingini.

“Setakat ini, Muhammad Amirul adalah satu-satunya murid yang mengalami masalah kesihatan serius dan kita berbesar hati dapat mendidik murid yang mempunyai semangat begini,” katanya selepas lawatan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman ke sekolah itu, hari ini.

Seramai 20,631 murid mendaftar memasuki Tahun Satu di 352 sekolah di seluruh negeri hari ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.