Selepas 32 Tahun Beroperasi, Kutipan Tol Bukit Kayu Hitam Dimansuhkan

BUKIT KAYU HITAM – Pemansuhan tol Bukit Kayu Hitam yang berkuat kuasa 12 tengah malam tadi setelah 32 tahun beroperasi (1985 – 2017) merupakan satu titik tolak kepada kepesatan pembangunan di kawasan itu yang digelar bandar sempadan paling dinamik.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kayu Hitam Datuk Ahmad Zaini Japar berkata ini kerana langkah itu dilihat mampu menarik kedatangan lebih ramai pelancong dari negara jiran sekali gus membantu merancakkan projek Bandar Bebas Cukai serta Taman Teknologi dan Sains di kawasan itu setelah direalisasikan kelak.

“Kita yakin kedatangan lebih ramai pelancong asing dari negara jiran mampu meningkatkan aliran masuk wang dari luar negara dan pada masa sama meningkatkan taraf hidup rakyat khususnya penduduk sekitar melalui peningkatan aktiviti perdagangan,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri majlis ringkas sempena hari terakhir plaza tol tersebut beroperasi di sini malam tadi.

Beliau berkata, pemansuhan tol itu yang telah lama diperjuangkan pihaknya, mampu membantu rakyat dan peniaga yang sering berulang-alik di kawasan tersebut atas faktor perniagaan dan pelancongan.

“Sudah lama, kira-kira lebih 10 tahun juga kita mengusahakan agar tol ini dapat dimansuhkan kerana ia agak membebankan rakyat…jadi keputusan ini merupakan sensitiviti kerajaan pusat kepada kemahuan kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata, mulai esok, pentadbiran laluan Bukit Kayu Hitam-Jitra itu akan diuruskan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri dan beliau mengharapkan agar jabatan tersebut mampu menguruskan laluan berkenaan dengan lebih baik.

“Ini kerana kita tahu di bawah PLUS (Lebuhraya Utara Selatan) walaupun perlu bayar tol, tapi dari aspek penyelenggaraan dan profesionalisme mereka lebih baik, sebab itu saya harap JKR juga dapat mengimplementasikan gerak kerja seperti ini,” katanya.

Seorang peniaga yang kerap menggunakan laluan plaza tol tersebut, Mashitah Zahid, 55, berkata beliau amat bersyukur apabila mendengar mengenai pemansuhan tol berkenaan yang disifatkannya langkah kerajaan yang paling bijak.

“Saya selalu pergi ke sebelah Siam untuk mengambil bekalan barang niaga seperti beras pulut… dulu kena bayar RM3.60…bayangkan kalau seminggu masuk empat kali, berapa dah, itu pun masuk sat (sekejap) saja,” katanya.

Tol Bukit Kayu Hitam merupakan satu daripada empat tol yang yang dimansuhkan kutipannya berkuat kuasa tengah malam ini, dengan tiga yang lain ialah di Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau, Selangor serta Eastern Dispersal Link, Johor.

Ia selaras dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang memutuskan perkara tersebut ketika membentangkan Bajet 2018 pada 27 Okt lepas.

Tinjauan turut mendapati kakitangan di plaza tol berkenaan mengadakan Majlis Penyerahan Dokumen, Aset Komponen Jalan dan Jabatan Plaza Tol Bukit Kayu Hitam yang turut dihadiri lebih 200 tetamu termasuk 24 kakitangan plaza tol berkenaan. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.